KITARecycle kumpul seribu tan barangan kitar semula

...

SEREMBAN, 02 May 2024

Sejumlah satu juta ki­logram (kg) atau 1,000 tan bara­ngan kitar semula berjaya dikumpulkan menerusi program kitar semula berganjaran iaitu KITARecycle yang dijalankan oleh syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di Ne­geri Sembilan sejak September 2018 sehingga bulan Mac lalu.

Syarikat itu menerusi kenyataan memberitahu, daripada jumlah itu, pengumpulan barangan kitar semula tertinggi adalah plastik iaitu seberat 245,463 kg dan kertas pula sebanyak 224,449.8 kg.

Kejayaan pengumpulan bara­ngan kitar semula menerusi program KITARecycle, satu penanda aras kejayaan kepada program kitar semula yang dilaksanakan secara bersasar dengan memfokuskan beberapa kumpulan seperti persatuan penduduk dan komuniti setempat, agensi-agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ditambah pula dengan pe­nguatkuasaan Akta 672 bagi pe­ngasingan sisa pepejal di punca oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Malaysia juga memberikan kesan positif peningkatan kadar kitar semula sebagai salah satu usaha mengurangkan bebanan janaan sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa,” katanya.

Selain itu, sokongan pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turut menjayakan program KITARecycle di kawasan pentadbirannya menerusi penyediaan tapak bagi fasiliti Pusat Pandu Lalu

KITARecycle yang pertama di Negeri Sembilan yang telah beroperasi pada Disember 2022.

“Sehingga Mac 2024, lebih 120,000 kg barangan kitar semula telah berjaya dikumpulkan di Pusat Pandu Lalu KITARecycle di Wisma MBS,” katanya.

Selain itu, SWM Environment juga tidak mengenepikan peranan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) sebagai pusat sumber ilmu di Negeri Sembilan yang telah membuka hab Komunikasi, Pendidikan dan Ke­sedaran Awam bagi menyalurkan maklumat berkenaan KITARecycle.

“Kejayaan program KITARecycle di Negeri Sembilan turut didorong oleh kerjasama strategik bersama-sama pihak pemaju yang membangunkan kawasan harta­nah di Negeri Sembilan dengan mendirikan pusat sehenti pengumpulan barangan kitar semula KITARecycle.

“Selain itu, KITARecycle turut menjadi tumpuan syarikat swasta yang turut sama menyediakan Pusat Pandu Lalu KITARecycle di kawasan perumahan bagi memudahkan penduduk melaksanakan program itu.

“Jalinan hubungan strategik di antara komuniti setempat, agensi-agensi kerajaan dan swasta, ins­titusi pendidikan dan NGO memberikan kesan positif kepada perubahan tingkah laku orang ramai untuk bersama-sama bertanggungjawab terhadap sisa yang dijana dengan mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula serta mengguna pakai kaedah KITARecycle,” katanya.

Sehingga Mac lalu, ahli KITARecycle juga semakin meningkat dan kini telah mencecah seramai 10,730 orang di Negeri Sembilan. 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/05/kitarecycle-kumpul-seribu-tan-barangan-kitar-semula/