Warga emas tidak malu kerja tukang sapu

...

MELAKA, 11 May 2024

Meskipun pernah dipandang rendah kerana bekerja sebagai tukang kutip sampah, namun seorang warga emas tidak pernah mengalah dan menganggap semua itu sebagai cabaran dalam mencari rezeki untuk keluarga.

Ibu kepada tiga orang anak, S. Selve, 60, yang menetap di Pulau Sebang, Alor Gajah, berkata, dengan pekerjaan itu dia dapat meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori sehinggakan dua orang anaknya berjaya tamat pengajian di universiti.

Menurutnya, walaupun tidak pandai memandu dan tidak mempunyai sebarang lesen kenderaan, namun itu bukan halangan baginya mencari rezeki meskipun telah menginjak usia emas.

Katanya, sejak 18 tahun lalu, dia akan pergi menyapu dan mengutip sampah di bawah SWM Environment Sdn Bhd sekitar kawasan Alor Gajah dengan menumpang motosikal rakannya yang berusia 40 tahun.

“Saya memang tak ada sebarang lesen, bawa motosikal pun tak pandai.

“Tapi selagi sihat tubuh badan, saya akan bekerja lagipun tidak mahu menyusahkan sesiapa termasuk dua anak saya yang telah berkeluarga,” kata wanita itu.

Tambahnya, meskipun anak-anak sering menasihati untuk dia berhenti bekerja dan berehat di rumah, namun tetap dia berdegil kerana mahu mencari pendapatan sendiri lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Sebenarnya, umur seperti saya sepatutnya sudah berehat di rumah, tapi bagi saya dengan bekerja secara tidak langsung dapat menyihatkan badan.

“Lebih penting lagi kita dapat bersama menjaga kebersihan kawasan sekitar dan hasrat saya nak lihat Melaka ini bersih,” katanya yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan.

Ujar Selve, walaupun ada kalanya dia keletihan kerana mengidap penyakit kencing manis, namun wanita itu berbangga menjadi antara insan terpilih menggalas pekerjaan murni tersebut.

“Saya jangka akan bersara pada tahun depan, dan kalau kesihatan mengizinkan saya mahu menyambung pekerjaan ini sebagai pekerja kontrak,” katanya.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/664137/berita/laporan-khas/warga-emas-tidak-malu-kerja-tukang-sapu?fbclid=IwZXh0bgNhZW0CMTEAAR2kS_0nMV3V5uWdbDP0NmHn2Exs-2TH_ggyQjDrqwXWwX4xiqhIXBOy82o_aem_AV-flmLA3x0Bn-0coU3fVA1JL4vddCZgZLyZKhHGpLTi2Hgfn8-5CTFvpWpA94Go17WfhB9Ve_nzaalI0KYsH8YL