Arul Kumar Tong sampah telah disediakan dan kutipan sampah dilaksanakan mengikut jadual. Penduduk yang membuang sampah merata-rata akan dikenakan perintah khidmat masyarakat.

...

NILAI, 18 January 2026

Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Arul Kumar berkata setiap rumah dan premis perniagaan telah dibekalkan tong sampah, dan kutipan sampah dilaksanakan oleh SWM Environment mengikut jadual yang ditetapkan. Namun begitu, masih terdapat segelintir penduduk yang enggan menggunakan tong sampah dan sebaliknya membuang sampah di hadapan rumah orang lain atau membuangnya secara sesuka hati.

Beliau berkata, perbuatan tersebut amat tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja menyusahkan orang lain, malah menjejaskan persekitaran kediaman. Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya memanfaatkan tong sampah yang telah disediakan.

“Pembuangan sampah di tempat yang tidak sepatutnya boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan juga berkemungkinan dihukum perintah khidmat masyarakat selama 12 jam,” katanya.

Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai turut mengingatkan bahawa sekiranya tong sampah rosak atau hilang, penduduk perlu segera menghubungi SWM Environment untuk tujuan penggantian atau tindakan lanjut.

Agihan tong sampah beroda tingkat kebersihan komuniti

Bagi meningkatkan tahap kebersihan persekitaran komuniti, SWM Environment semalam melaksanakan program pengagihan tong sampah beroda di Taman Ros Merah, Nilai dan Taman Desa Jasmin Fasa 1, dengan sejumlah 195 tong sampah baharu berkapasiti 120 liter diagihkan kepada penduduk setempat.

Turut hadir ialah Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Zahrul Hisyam; Pengurus Besar SWM Environment, Mohd Norlizan; serta Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Danabalan.

Ganti tong sampah rosak

Pengurus Besar SWM Environment, Mohd Norlizan berkata, program pengagihan kali ini melibatkan 195 unit, iaitu 73 buah di Taman Ros Merah dan 120 buah di Taman Desa Jasmin Fasa 1.

Menurut beliau, penggunaan tong sampah beroda yang menepati piawaian bukan sahaja serasi dengan teknologi lori pemampat, malah dapat meningkatkan kecekapan kutipan sampah serta mengurangkan masalah sampah melimpah, pencemaran alam sekitar dan risiko kesihatan awam.

“Program ini bertujuan menggantikan tong sampah yang telah rosak bagi memastikan penduduk menikmati perkhidmatan kutipan sampah yang lebih selamat, bersih dan cekap,” katanya.

Beliau menambah, setiap isi rumah yang menerima tong sampah baharu turut diberikan sekeping kad notis yang mengandungi nombor tong dan kod QR. Penduduk perlu mengimbas kod QR tersebut untuk mengisi maklumat bagi pengesahan penerimaan, kemas kini rekod serta memudahkan pemantauan dan pengurusan sistematik oleh SWM, selaras dengan aspirasi syarikat ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, bersih dan moden.

Galakkan penyertaan program ganjaran kitar semula

SWM Environment turut menggalakkan rakyat Negeri Sembilan untuk memulakan pengasingan sisa di punca serta aktif menyertai Program Ganjaran KITARecycle. Sehingga kini, program tersebut telah menjana sebanyak 4,664,880.18 mata ganjaran (RP) bersamaan RM233,244 yang telah ditebus oleh para ahli.

Pada tahun 2025, program ini berjaya mengumpulkan sebanyak 914,246 kilogram bahan kitar semula di Negeri Sembilan, meningkat 26.5 peratus berbanding 722,936 kilogram pada tahun 2024. Bahan kitar semula tertinggi adalah kertas (562 tan), diikuti plastik (200 tan), logam (46 tan) dan sisa elektronik (23 tan).

Setakat ini, KITARecycle mempunyai 41,428 ahli berdaftar di Negeri Sembilan serta dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tujuh pusat pandu lalu kitar semula, 27 lokasi drop-off kitar semula, 62 sangkar kitar semula KITARecycle dan tiga Pusat Kitar Semula Sumber (DTRC) di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SEJATI MADANI).