195 buah tong sampah beroda baharu diedarkan di Taman Ros Merah dan Taman Desa Jasmin Fasa 1, Nilai
NILAI, 22 January 2026
SWM Environment telah mengedarkan sebanyak 195 buah tong sampah beroda (TSB) baharu berkapasiti 120 liter kepada penduduk-penduduk Taman Ros Merah dan Taman Desa Jasmin Fasa 1, Nilai melalui Kempen Pengedaran Tong Sampah Beroda (TSB).
Turut hadir semasa sesi pengedaran TSB tersebut adalah Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Dato’ Ir Ts Masri Baharuddin dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan sebagai tanda sokongan padu pihak Kerajaan terhadap perkhidmatan pengurusan sisa pepejal oleh SWM Environment.
Kempen ini bertujuan menggantikan TSB yang telah rosak dan memastikan penduduk mendapat perkhidmatan pengurusan kutipan sisa pepejal yang terbaik, selamat, bersih, dan cekap.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin; penggunaan TSB mengikut standard yang bersesuaian dengan teknologi pada lori kompaktor bukan sahaja melancarkan operasi kutipan sisa pepejal, malah mengurangkan risiko tumpahan sisa, pencemaran persekitaran dan ancaman kepada kesihatan awam.
“Pengedaran TSB baharu ini melibatkan 195 buah premis, merangkumi 75 buah premis di Taman Ros Merah dan 120 buah premis di Taman Desa Jasmin Fasa 1, yang telah diedarkan,” jelas beliau.
Di samping TSB baharu, setiap penduduk turut menerima Notis Makluman dari SWM Environment yang dilengkapi dengan nombor siri TSB mengikut premis masing-masing dan kod QR.
Penduduk dikehendaki untuk mengimbas kod QR yang tertera pada kad untuk pengisian maklumat, pengesahan penerimaan TSB, dan kemas kini rekod pengedaran TSB, serta memastikan pemantauan keadaan TSB dilakukan secara teratur dan sistematik selaras dengan aspirasi SWM Environment untuk menyediakan perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang lebih cekap, bersih dan efisien.
Selain pengedaran TSB baharu, satu lawatan kerja operasi kutipan sisa pepejal turut dilaksanakan bagi menilai keberkesanan perkhidmatan, mengenal pasti cabaran operasi, dan memperkukuh koordinasi strategik antara pengurusan, petugas operasi, dan komuniti.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen SWM Environment dalam memastikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal yang benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
Program KITARecycle di Negeri Sembilan
SWM Environment terus menggalakkan masyarakat Negeri Sembilan mengamalkan pengurusan sisa secara berhemah melalui pengasingan sisa di punca dan penyertaan aktif dalam Program KITARecycle.
Sepanjang tahun 2025, sebanyak 914,246 kg barangan kitar semula berjaya dikumpulkan, meningkat 26.5 peratus berbanding 2024 (722,936 kg).
Kutipan tertinggi melibatkan kertas (562 tan), diikuti plastik (200 tan), logam (46 tan) dan sisa elektronik/e-waste (23 tan). Aktiviti ini memberikan mata ganjaran (RP) sebanyak 4,664,880.18, bersamaan RM233,244.01 yang telah ditebus oleh ahli KITARecycle.
Program ini kini disokong oleh 41,428 ahli berdaftar, dengan kemudahan kitar semula termasuk 7 Pusat Pandu Lalu, 27 Drop-Off Collection Point, 62 Sangkar KITARecycle, serta 3 DTRC Program Sejati Madani.
Pencapaian ini membuktikan peranan SWM Environment sebagai pemacu kelestarian melalui aktiviti kitar semula mampu menyumbang kepada perubahan besar yang bermula dengan tindakan kecil masyarakat, ke arah masa depan Negeri Sembilan yang bersih, hijau, dan mampan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472, WhatsApp 012-618 0082, atau layari www.swm-environment.com