Jangan buang sampah di hadapan rumah orang lain, Arul Kumar gesa penduduk manfaatkan tong sampah
NILAI, 17 January 2026
Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Arul Kumar berkata setiap rumah dan premis perniagaan telah dilengkapi tong sampah, dan kutipan sampah dilaksanakan oleh SWM mengikut jadual yang ditetapkan. Namun demikian, masih terdapat segelintir penduduk yang enggan menggunakan tong sampah, sebaliknya membuang sampah di hadapan rumah orang lain atau membuangnya secara sesuka hati.
Beliau berkata, perbuatan tersebut amat tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja menjejaskan orang lain, malah merosakkan persekitaran tempat tinggal. Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya memanfaatkan tong sampah yang telah disediakan.
“Pembuangan sampah di tempat yang tidak sepatutnya boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 dan berkemungkinan dikenakan perintah khidmat masyarakat selama 12 jam,” katanya.
Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai turut mengingatkan bahawa sekiranya tong sampah rosak atau hilang, penduduk perlu segera menghubungi SWM untuk tujuan penggantian atau tindakan lanjut.
Seiring usaha meningkatkan tahap kebersihan persekitaran komuniti, SWM semalam melaksanakan program pengagihan tong sampah beroda di Taman Ros Merah, Nilai dan Taman Desa Jasmin Fasa 1. Sebanyak 195 buah tong sampah baharu berkapasiti 120 liter telah diagihkan kepada penduduk setempat.
Turut hadir ialah Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Cairul Hisyam; Pengurus Besar SWM, Mohd Norlisam; serta Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Thanabalan.
Pengurus Besar SWM, Mohd Norlizan berkata, program pengagihan tersebut melibatkan 195 unit, dengan 75 buah di Taman Ros Merah dan 120 buah di Taman Desa Jasmin Fasa 1.
Menurut beliau, penggunaan tong sampah beroda yang menepati piawaian bukan sahaja serasi dengan teknologi lori pemampat, malah dapat meningkatkan kecekapan kutipan sampah serta mengurangkan masalah sampah melimpah, pencemaran alam sekitar dan risiko kesihatan awam.
“Program ini bertujuan menggantikan tong sampah yang rosak bagi memastikan penduduk menerima perkhidmatan kutipan sampah yang lebih selamat, bersih dan cekap,” katanya.
Beliau menambah, setiap isi rumah yang menerima tong sampah baharu turut diberikan sekeping kad notis yang memaparkan nombor tong dan kod QR. Penduduk perlu mengimbas kod QR tersebut untuk mengisi maklumat bagi pengesahan penerimaan dan kemas kini rekod, sekali gus memudahkan pemantauan serta pengurusan sistematik oleh SWM, selaras dengan aspirasi syarikat ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, bersih dan moden.
KITARecycle: Kadar kitar semula Negeri Sembilan meningkat 26.5 peratus
SWM terus menggalakkan rakyat Negeri Sembilan untuk melaksanakan pengasingan sisa di punca serta aktif menyertai Program Ganjaran KITARecycle. Sehingga kini, program tersebut telah menjana sebanyak 4,664,880.18 mata ganjaran (RP), bersamaan RM233,244, yang telah ditebus oleh para ahli.
Pada tahun 2025, program ini berjaya mengumpulkan sebanyak 914,246 kilogram bahan kitar semula di Negeri Sembilan, meningkat 26.5 peratus berbanding 722,936 kilogram pada tahun 2024.
Daripada jumlah tersebut, bahan kitar semula tertinggi ialah kertas (562 tan), diikuti plastik (200 tan), logam (46 tan) dan sisa elektronik (23 tan).
Setakat ini, KITARecycle mempunyai 41,428 ahli berdaftar di Negeri Sembilan serta dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk tujuh pusat pandu lalu kitar semula, 27 lokasi pelupusan kitar semula, 62 sangkar kitar semula KITARecycle dan tiga Pusat Kitar Semula Sumber (DTRC) di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SEJATI MADANI).