40 lori bertekanan air tinggi digerak laksana Ops Tanpa Debu seluruh Johor

...

JOHOR, 30 June 2025

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan menggerakkan lebih 40 buah lori pembersihan bertekanan air tinggi bagi menjayakan Ops Tanpa Debu di kawasan tumpuan seluruh Johor.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, pihaknya bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi menjayakan program tersebut.

“Operasi ini melibatkan perkhidmatan pembersihan awam di kawasan tumpuan sebagai persediaan awal menjelang sambutan Tahun Melawat Johor 2026 tidak lama lagi.

“Tujuannya bukan sekadar memastikan kawasan tumpuan awam bebas sampah, malahan bersih tanpa kotoran dan debu seiring dengan agenda Johor Bersih digerakkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya kepada pemberita pada Operasi Pembersihan Jalan Tanpa Debu di Legaran Segget, di sini malam tadi.

Tambah Mohd. Norlisam, matlamat utama program untuk meningkatkan kebersihan sekaligus memberi keutamaan kepada keselesaan orang awam dan pelancong.

“SWM Environment dengan kerjasama SWCorp dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memulakan operasi ini secara berkala sejak awal bulan ini.

“Antara kawasan tumpuan termasuk pusat bandar raya Johor Bahru, Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Laman Kreatif Kluang dan Dataran Kembara, Mersing,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai menggunakan kemudahan kebersihan khususnya tong sampah yang disediakan. 

https://www.utusan.com.my/nasional/2025/06/40-lori-bertekanan-air-tinggi-digerak-laksana-ops-tanpa-debu-seluruh-johor/