Hari Pembersihan Sedunia! Usaha SWM Environment gerakkan masyarakat! Urus sisa dan pelihara alam!

...

MELAKA, 10 October 2026

Kebersihan bukan sekadar tentang mengutip sampah, sebaliknya merupakan cerminan sikap, kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama terhadap persekitaran.  Atas prinsip tersebut, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) terus memperkukuh komitmennya menerusi penganjuran World Cleanup Day (Hari Pembersihan Sedunia atau WCD) 2026 di Pulau Melaka, sebagai platform untuk menggerakkan masyarakat agar menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam  pengurusan sisa pepejal dan pemeliharaan alam sekitar. 

WCD, yang diwujudkan selepas satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  jatuh pada 20 September setiap tahun.

Program yang melibatkan kira-kira 60 peserta daripada agensi kerajaan, sektor swasta, media dan komuniti itu bukan sekadar aktiviti litter pick (kutip sampah), 
malah menjadi medan untuk memperkukuh kerjasama strategik serta menyemai kesedaran bahawa usaha menjaga kebersihan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak 
berkuasa atau syarikat konsesi kebersihan. 

Aktiviti pembersihan meliputi kawasan kira-kira tiga kilometer, bermula dari hadapan Masjid Selat sehingga ke kawasan rumah kedai Pulau Melaka, dengan sebanyak 55.5 kilogram sisa berjaya dikutip dan seterusnya diasingkan mengikut kategori seperti plastik, kertas, botol kaca dan sisa tidak boleh dikitar semula. 

Angka tersebut turut memberikan perspektif apabila dibandingkan dengan penganjuran WCD tahun sebelumnya.

Pada 26 September 2025, program WCD di Pantai Puteri, Melaka yang melibatkan kira-kira 100 peserta telah merekodkan kutipan sebanyak 101 kilogram sisa, terdiri daripada 46 kilogram sisa yang boleh dikitar semula dan 55 kilogram sisa tidak boleh dikitar semula.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa data kutipan sisa daripada sesuatu program cleanup perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak semata-mata dijadikan ukuran kejayaan. 

Sebaliknya, ia boleh menjadi salah satu petunjuk untuk memahami keadaan persekitaran, corak pembuangan sisa serta tahap kesedaran masyarakat di sesuatu kawasan. 

Menurut Mohd Norlisam Mohd Nordin, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, WCD bukan sekadar mengenai berapa banyak sisa yang berjaya dikutip, tetapi lebih penting lagi ialah mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat mengenai keperluan untuk mencegah sisa daripada memasuki persekitaran sejak dari awal. 

“Kita tidak mahu budaya kebersihan hanya tertumpu kepada aktiviti membersihkan kawasan selepas sisa dibuang.

"Sebaliknya, kita mahu membina budaya di mana setiap individu memahami bahawa tindakan kecil seperti mengurangkan penggunaan, mengasingkan sisa dan membuang sisa di tempat yang betul mempunyai kesan besar terhadap kelestarian persekitaran. 

"Sisa yang diuruskan dengan baik bukan lagi sekadar bahan buangan, tetapi sebahagiannya boleh dikembalikan kepada kitaran ekonomi melalui amalan kitar semula. 

“World Cleanup Day menjadi platform untuk kita membawa mesej bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama. 

"SWM Environment boleh menyediakan perkhidmatan kutipan dan pengurusan sisa, tetapi kejayaan pengurusan sisa pepejal memerlukan kerjasama dan komitmen seluruh ekosistem masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata, pendekatan SWM Environment terhadap WCD turut menekankan aspek  pendidikan, pencegahan dan perubahan tingkah laku, selaras dengan usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal yang lebih bertanggungjawab. 

Pada masa sama, WCD 2026 turut menjadi platform yang memperlihat kekuatan kolaborasi rentas sektor, dengan sokongan dan penyertaan rakan strategik SWM Environment termasuk Perbadanan  Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Tenaga Nasional Berhad (TNB), AEON, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), PDG Group, CSC Steel, Melaka Hari Ini, Persatuan Wartawan Melaka (MJA) dan Prigel Ventures Sdn. Bhd. 

Menurut Mohd Norlisam, penglibatan pelbagai sektor amat penting bagi memastikan agenda kebersihan dan kelestarian tidak bergerak secara bersendirian. 

“Kerjasama seperti ini membuktikan bahawa agenda kebersihan mampu menjadi titik pertemuan antara kerajaan, industri, media dan komuniti. 

"Setiap pihak mempunyai peranan tersendiri, dan apabila kekuatan ini digabungkan, kita mampu menghasilkan impak yang lebih besar serta membina kesedaran yang lebih berpanjangan.” 

Beliau menambah, penglibatan media juga penting dalam memperluas mesej pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat agar amalan pengurusan sisa yang bertanggungjawab dapat diterapkan secara lebih meluas. 

SWM Environment melihat WCD sebagai satu peluang untuk mengalihkan fokus masyarakat daripada sekadar “membersihkan kawasan” kepada “membina budaya bersih”. 

Budaya tersebut perlu diterjemahkan melalui tindakan harian seperti mengurangkan penjanaan sisa, mengasingkan sisa di punca, mengitar semula serta memastikan sisa dibuang dengan cara yang betul. 

“Matlamat kita bukan sekadar melihat kawasan yang bersih selepas sesuatu program berakhir. 

"Matlamat yang lebih besar ialah memastikan kesedaran yang tercetus melalui program seperti ini dibawa pulang oleh setiap peserta dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

SWM Environment berharap WCD 2026 dapat terus menjadi pemangkin kepada penglibatan masyarakat dan sektor swasta dalam memperkukuh agenda  pengurusan sisa pepejal, di samping membina komuniti yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan proaktif terhadap kelestarian alam sekitar. 

SWM Environment kekal komited untuk terus bersama-sama masyarakat dalam membina budaya bersih, memperkukuh tanggungjawab bersama dan mewujudkan Melaka yang lebih bersih, sihat dan lestari untuk generasi kini dan akan datang. 

https://kitareporters.com/niaga/JxboYXLBeg