Pekerja pembersihan saksi pembangunan Johor Bahru

...

JOHOR BAHRU, 24 June 2025

Pekerja pembersihan yang berkhidmat lebih 30 tahun menjadi saksi perkembangan dan kemajuan negeri ini, khususnya bandar raya Johor Bahru.

Pekerja sapuan jalan Unit Pusat Bandar, Cawangan Johor Bahru SWM Environment, Musa Ahmad, 60, yang memulakan tugas sebagai pekerja am kebersihan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum menyertai SWM Environment mengakui bandar raya mengalami pembangunan pesat, khususnya dalam sedekad terakhir ini.

“Saya juga telah melihat perubahan bandar raya ini, daripada sebuah pekan, bandar kecil dan kini menjadi bandar raya yang pesat membangun dan menjelang tahun 2030 saya yakin Johor Bahru akan berubah secara total.

“Selaku anak jati Johor Bahru, bekerja dalam sektor kebersihan di bandar raya ini amat bermakna kerana saya dapat menyumbang kembali kepada tanah kelahiran sendiri.

“Sebagai pekerja sapuan jalan, saya bertanggungjawab memastikan kebersihan di kawasan tumpuan umum seperti Laman Mahkota Istana Bukit Serene dan Medan Selera Tepian Tebrau,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Bapa kepada dua cahaya mata itu memulakan tugas pembersihan seawal pukul 7.30 pagi sebelum kehadiran pengunjung.

“Sepanjang 30 tahun berkhidmat, pekerjaan ini telah menjadi sumber rezeki buat saya menyara keluarga kecil dengan membesarkan dua orang anak.

“Dalam usia mencecah warga emas ketika ini, pekerjaan ini bukan sekadar punca rezeki untuk menyara hidup, malah memberi nilai tambah kepada kesihatan saya menerusi pergerakan aktif sepanjang bertugas,” katanya.

Seorang lagi pekerja pembersihan, Amran Jamal, 58, mula bertugas sebagai pekerja pembersihan sebelum meningkatkan kemahiran menjadi pemandu lori kompaktor.

“Peralihan tanggungjawab itu membolehkan saya memainkan peranan yang lebih penting dalam bidang penjagaan kebersihan bandar raya Johor Bahru ini. Sebuah lori kompaktor boleh menampung sehingga 16 tan sisa pepejal dalam setiap perjalanan, ini merupakan penambahbaikan berbanding lori dahulu yang hanya mampu memuatkan kira-kira tiga tan sisa pepejal sahaja,” katanya.

https://www.utusan.com.my/berita/2025/06/pekerja-pembersihan-saksi-pembangunan-johor-bahru/