Operasi No Dust dimulakan; Melaka sambut WCD dengan tarikan kebersihan

...

MELAKA, 08 June 2025

Dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan di lokasi tumpuan pelancongan, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) mengambil inisiatif melaksanakan Operasi Cucian ‘Deep Clean, No Dust’ di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini.

“Operasi melibatkan 20 pekerja pembersihan dengan bantuan dua unit jentera Water Jet bagi membersihkan lokasi berkenaan daripada habuk dan pasir demi keselesaan pelancong,” kata Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Katanya lagi, operasi yang dilaksanakan ini adalah salah satu inisiatif SWM Environment dalam memastikan kebersihan di lokasi-lokasi pelancongan negeri ini berada dalam tahap terbaik sebagai persediaan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang akan berlangsung pada September ini.

Operasi ini juga dicadang akan dilaksanakan ke beberapa lokasi pelancongan di sekitar negeri ini bagi mempertingkatkan lagi tahap kebersihan serta menarik kehadiran pelancong ke Melaka yang menjadi salah satu bandaraya terbersih di Asia Tenggara. 

Turut hadir Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Nor Zaki Md Nor dan Pengurus Kawasan Perkhidmatan SWM Environment Melaka, Norariffin Nordin bagi memantau operasi.