Sampah di tapak pelupusan sepanjang Ramadan; Peningkatan sebanyak 1,143 tan berbanding tahun lalu

Melaka, 14 April 2025
Jumlah penjanaan sisa pepejal di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang, Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 3.54 peratus atau bersamaan 1,143.65 tan sepanjang Ramadan tahun ini berbanding Ramadan tahun yang lalu.
Menurut Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Nor Zaki bin Md Nor, sepanjang bulan Ramadan yang lalu, tapak pelupusan sampah di Sungai Udang telah mencatatkan penerimaan sebanyak 32,343.04 tan sisa sampah membabitkan sisa domestik, sisa pukal, sisa perindustrian, komersial dan keinstitusian (ICI), sisa pembinaan dan lain-lain sisa berbanding 31,199.39 tan sepanjang Ramadan tahun lalu.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16,660.34 tan sisa domestik diterima di tapak pelupusan sepanjang tempoh Ramadan kali ini, iaitu peningkatan sebanyak 5.93 peratus manakala sisa pukal turut mencatat peningkatan dengan penerimaan sebanyak 2,647.26 tan, peningkatan 8.42 peratus berbanding Ramadan tahun lalu.
“Manakala sisa ICI pula mencatatkan penurunan penerimaan di tapak pelupusan sebanyak 2.78 peratus dengan 8,325.10 tan sepanjang Ramadan lalu berbanding 8,556.47 tan pada tahun 2024.
“Tren peningkatan ini berdasarkan peningkatan janaan sisa daripada pelbagai sumber khususnya penganjuran bazar-bazar yang berlangsung di seluruh negeri ini sepanjang 29 hari Ramadan yang lalu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengendali kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti SWM Environment yang sentiasa komited melaksanakan kutipan dan pembersihan sepanjang Ramadan baru-baru ini.