2 JALAN UTAMA JADI LOKASI SAMPAH LONGGOK HAMPIR 10 TAHUN

JOHOR BAHRU, 04 April 2025
Sampah longgok haram yang menjadi masalah kebersihan di dua jalan utama di Taman Molek iaitu Jalan Persiaran Molek Utama dan Jalan Persiaran Molek, di sini dikesan telah berlanjutan selama hampir sepuluh tahun.
Masalah tersebut telah mendapat perhatian Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru Zon Taman Molek, Chong See Min yang mendapatkan kerjasama daripada anggota pekerja SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) untuk membersihkan lokasi tersebut, pagi tadi.
Pelbagai jenis sampah seperti perabot, tilam dan peralatan ibadah dibuang di lokasi berkenaan. Masalah sampah longgok di tepi jalan tersebut dikesan berlaku selama bertahun-tahun sehingga menjejaskan kebersihan kawasan sekitar.
Jelas beliau, sampah longgok haram adalah adalah di luar skop perkhidmatan SWM Environment namun permohonan bantuan khusus telah dikemukakan bagi melaksanakan pembersihan di lokasi tersebut.
“Bantuan pembersihan oleh SWM Environment ini bukan dilaksanakan selepas menerima aduan penduduk, tetapi langkah perlu diambil segera kerana masalah telah berlanjutan untuk sekian lama.”
Beliau mendedahkan bahawa pembuang sampah biasanya memilih waktu malam untuk membuang sampah mereka dan segelintir daripada mereka merupakan penunggang motosikal kerana lebih mudah.
See Min turut memaklumkan dianggarkan lebih daripada 10 lokasi tumpuan sampah longgok di sepanjang jalan tersebut dan sekiranya dibiarkan akan semakin bertambah.
Menurut beliau lagi, MBJB telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tiga persimpangan utama di Taman Molek untuk memantau lalulintas dan keselamatan. Pihak berkuasa juga akan menambah bilangan CCTV di kawasan itu secara berperingkat termasuk CCTV tanpa wayar untuk dipasang di kawasan tumpuan sampah longgok haram.
Beliau turut menjadikan Jalan Persiaran Bumi Hijau berhampiran dengan Kampung Melayu Pandan yang merupakan antara lokasi sampah longgok haram sejak lebih 20 tahun lalu. Sistem CCTV yang dipasang di kawasan MBJB berjaya menangkap pembuang sampah haram dan dikenakan hukuman denda. Tindakan penguatkuasaan juga diambil bagi menghalang pembuangan sampah secara haram di lokasi berkenaan.