Banjir Johor hampir pulih, 500 tan sisa pukal jangka dikutip

JOHOR BAHRU, 25 March 2025
Keadaan banjir di Johor hampir pulih dengan hanya kira-kira 1,000 mangsa masih berlindung di 10 pusat pemulihan sementara (PPS) di dua daerah – Batu Pahat dan Pontian.
Jumlah itu jauh berkurangan daripada lebih 11,000 mangsa yang dipindahkan ke PPS pada 20 dan 21 Mac lalu.
Dengan kepulangan mangsa ke kediaman masing-masing yang diselaputi lumpur dan kesan banjir, operasi pembersihan giat dijalankan mangsa dengan bantuan pelbagai pihak termasuk sukarelawan dan pihak berkuasa.
Untuk banjir kali ini yang disifatkan antara terburuk dalam sejarah di Johor, sebanyak 500 tan sisa pukal banjir dijangka dikutip dalam Operasi Pembersihan Pasca Banjir dari kawasan terjejas banjir membabitkan Bandaraya Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kluang dan Iskandar Puteri.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Encik Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata operasi yang membabitkan 200 tenaga kerja dan 40 jentera itu telah bermula sejak 21 Mac lalu.
Dalam tempoh lima hari operasi dijalankan, lebih 250 tan sisa banjir seperti almari, katil dan tilam yang rosak telah dibersihkan di kawasan terjejas.
“Kita jangkakan hingga 29 Mac ini, anggaran sebanyak 500 tan sisa dapat dibersihkan sebelum Syawal tiba.
“Kalau lihat dari segi pembersihan yang dijalankan dalam tempoh lima hari, kita mengutip 250 tan sisa banjir dengan purata sehari 50 hingga 60 tan.
“Antara kawasan kutipan sisa yang tinggi adalah di Taman Tampoi Indah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Kampung Seri Jaya dan Kampung Seri Serdang,” katanya ketika melihat perkembangan Operasi Pembersihan Pasca Banjir di Villa Rose, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Encik Mohd Norlisam, sebahagian besar sisa pukal yang dibersihkan adalah perabot, katil, tilam, sofa dan almari pakaian.
“SWM Environment juga bersedia untuk menerima permohonan penggantian tong sampah beroda yang rosak atau hanyut akibat banjir secara percuma,” katanya.
Sementara itu, Public Bank dan Public Islamic Bank menawarkan bantuan bayaran balik untuk pelanggan pinjaman dan pembiayaan yang terjejas oleh bencana banjir di Johor.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata bencana banjir di Johor baru-baru ini menyebabkan ramai orang menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan seharian.
“Bantuan kewangan ditawarkan kepada pelanggan yang mengalami kerosakan dan kerugian akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Mac.