Dengan 40,000 ahli, program kitar semula KITARecycle dilihat sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan
PORT DICKSON, 08 May 2026
Nicole Tan Lee Koon selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan menyeru penduduk serta pelancong supaya meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan bersama-sama memastikan kebersihan pantai di Port Dickson terus terpelihara, sekali gus menghapuskan imej Negeri Sembilan sebagai negeri dengan jumlah puntung rokok tertinggi di negara ini tahun lalu.
Beliau berkata, Port Dickson terkenal dengan pantai yang indah dan persekitaran menarik yang menjadi tarikan pelancong, namun Negeri Sembilan telah mencatatkan gelaran tidak diingini sebagai kawasan dengan jumlah sampah puntung rokok paling banyak.
“Perkara ini bukan sahaja mencemarkan imej negeri, malah turut menimbulkan masalah kebersihan alam sekitar. Saya berharap para perokok tidak memandang remeh isu ini kerana sampah paling banyak di kawasan pantai sebenarnya ialah puntung rokok. Jika dibiarkan terkumpul, ia akan menjadi masalah besar,” katanya.
Beliau turut memberi contoh di Jepun, di mana ramai perokok membawa bekas kecil sendiri untuk menyimpan puntung rokok sebelum dibuang dengan betul.
Menurut beliau, masyarakat perlu memainkan tanggungjawab sebagai warga yang bertanggungjawab dengan meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan di tempat awam. Perokok juga tidak seharusnya menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak menyediakan kemudahan mencukupi untuk membuang puntung rokok kerana ia merupakan tanggungjawab individu.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran “Information Wall #PDKuBersih” yang dibangunkan oleh SWM Environment sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 di Pantai Teluk Kemang pagi tadi.
Information Wall tersebut dibina di lokasi strategik di kawasan pantai dan menggabungkan elemen maklumat pelancongan, pendidikan alam sekitar serta kemudahan kitar semula bagi meningkatkan imej pantai Port Dickson dan menyokong pembangunan pelancongan lestari.
Beliau menyifatkan konsep “Information Wall #PDKuBersih” sebagai satu idea yang kreatif dan praktikal kerana bukan sahaja menyediakan pendidikan berkaitan alam sekitar, malah turut memberi maklumat pelancongan kepada pengunjung.
Beliau berharap konsep Information Wall seperti itu dapat diperluaskan di setiap kilometer kawasan pantai Port Dickson supaya semua pihak dapat bersama-sama menjaga kebersihan dan memastikan Port Dickson terus kekal bersih serta indah.
Sementara itu, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, Information Wall tersebut bukan sahaja menyediakan maklumat pelancongan, malah dilengkapi fungsi interaktif digital menerusi kod QR yang membolehkan pengunjung melayari laman web rasmi #PDKuBersih untuk mendapatkan maklumat berkaitan destinasi pelancongan, inisiatif alam sekitar dan perkhidmatan berkaitan.
Beliau berkata, Information Wall itu turut menerapkan elemen pendidikan alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan kitar semula, pengasingan sisa dan penjagaan alam sekitar.
“Information Wall ini juga merupakan sebahagian daripada fasiliti Pusat Pandu Lalu KITARecycle (DOCP), di mana orang ramai dan pelancong boleh menghantar bahan kitar semula serta mengumpul mata ganjaran melalui aplikasi mudah alih KITARecycle sebelum menebusnya dalam bentuk ganjaran tunai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak SWM Environment kini menyediakan sebanyak 221 unit tong sampah berkapasiti 120 liter dan 1,100 liter di sepanjang kawasan pantai Port Dickson bagi memudahkan orang ramai menguruskan sampah dengan lebih sistematik.