500 tan 'gunung' sampah akibat banjir di Johor

...

Johor Bahru, 25 March 2025

Banjir besar yang berlaku di negeri ini menyebabkan timbunan sampah pukul dan sisa barangan rumah seberat lebih 500 tan metrik terhasil.

Semua sampah berkenaan dijangka dikutip dalam Operasi Pembersihan Pasca Banjir membabitkan lokasi bandaraya Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kluang dan Iskandar Puteri.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, operasi membabitkan 200 tenaga kerja dan 40 kenderaan jentera bermula sejak Jumaat lalu.

Katanya, dalam tempoh lima hari operasi dijalankan, lebih 250 metrik tan sisa banjir seperti almari, katil dan tilam yang rosak dibersihkan di kawasan terjejas.

"Kita jangkakan sehingga Sabtu ini, sebanyak 500 metrik tan sisa dapat dibersihkan.

"Antara kawasan kutipan sisa yang tinggi adalah di Taman Tampoi Indah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Kampung Seri Jaya dan Kampung Seri Serdang.

"Usaha turut membabitkan Kampung Sepakat Jaya dan Kampung Sinaran Baru di Kulai; Kampung Pulai Gelang Patah, Kampung Maju Jaya, Batu 8 ½ Skudai, dan Taman Jaya (Iskandar Puteri); Taman Kemang dan Taman Aman (Kota Tinggi) serta Taman Tiara Perdana dan Taman Layang-Layang (Simpang Renggam)," katanya ketika melihat perkembangan Operasi Pembersiahan Pasca Banjir di Villa Rose, Taman Tampoi Indah di sini, tadi.

Beliau turut memohon semua mangsa banjir dan sukarelawan mengumpulkan sisa pukal di hadapan rumah bagi melancarkan proses kutipan sisa.

"Dua tapak pemindahan sementara dibuka di Taman Tampoi Indah di sini dan Kampung Pasir, Skudai untuk kutipan sisa banjir bagi melancarkan pembersihan dari rumah ke rumah sebelum ketibaan Syawal.

"SWM Environment juga bersedia untuk menerima permohonan penggantian tong sampah beroda (TSB) yang rosak atau hanyut akibat banjir secara percuma.

"Permohonan penggantian boleh dibuat secara dalam talian di halaman eLU Dashboard melalui laman sesawang rasmi SWM Environment di pautan www.swm-environment.com.

"Sekiranya tong sampah hilang akibat banjir, pemohon perlu membuat laporan polis dan melampirkan bersama salinan laporan polis tersebut di dalam permohonan yang dibuat secara dalam talian. Penggantian akan dibuat secepat mungkin," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/03/1200767/500-tan-gunung-sampah-akibat-banjir-di-johor