Janaan sisa naik hingga 10 peratus semasa sambutan Aidilfitri

...

JOHOR BAHRU, 14 March 2025

SWM Environment menjangkakan jumlah janaan sisa di Johor, bakal meningkat sekitar lima hingga 10 peratus menjelang dan semasa Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, bagi mengatasinya Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri bermula 30 Mac hingga 5 April untuk dilaksanakan 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini bagi memastikan operasi kutipan berjalan lancar dan memberi keselesaan kepada penduduk semasa sambutan itu.

“Antaranya, jadual kutipan akan diawalkan sehari bermula 30 Mac dan akan kembali seperti biasa pada 1 April.

“Selain, terus memberi fokus kepada 120 lokasi tumpuan dengan berkepadatan penduduk beragama Islam seperti Johor Bahru, Kulai dan lain-lain yang akan berlaku peningkatan atau lambakan sisa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Operasi Pengurusan Sisa Pepejal Sempena Hari Raya Aidilfitri di tapak parkir Padang Bola Sepak Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Katanya, SWM Environment juga akan memberikan tumpuan khusus di lokasi seperti pusat Bandar untuk melibatkan skop kerja sapuan jalan pada 1 Syawal dan pengurusan sisa pukal, sisa kebun serta barangan kitar semula, menerusi Perkhidmatan Kutipan +1 berjadual satu kali seminggu.

Menurutnya, 250 buah lori kutipan +1 seperti lori Roll On Roll Off (RORO) akan diaturkan bagi memberi manfaat kepada penduduk untuk mengemas rumah masing-masing sepanjang dua minggu terakhir Ramadan.

Seramai 5,000 anggota bersama-sama 620 buah kenderaan berjentera akan bertugas sepanjang melaksanakan Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

https://malaysiagazette.com/2025/03/14/janaan-sisa-naik-hingga-10-peratus-semasa-sambutan-aidilfitri/#google_vignette