Bina tembok, elak air parit masuk rumah penduduk

JOHOR BAHRU, 08 March 2025
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan membina tembok di kawasan parit bagi mengelakkan limpahan yang boleh menyebabkan rumah penduduk dilanda banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kerajaan negeri komited menyelesaikan masalah banjir di Iskandar Puteri yang melanda beberapa hari lalu, susulan hujan lebat berpanjangan.
Katanya, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak sembilan lokasi titik panas (hotspot) banjir antaranya Batu 8 ½ Skudai, Kampung Poh Chee Leng dan Jalan Zapin 3.
“Kerajaan negeri akan memastikan MBIP bersama agensi kerajaan dan pihak pemaju terlibat mencari penyelesaian bersepadu bagi menyelesaikan isu berkaitan parit dan saliran, selain membangunkan sistem tebatan banjir untuk mengelakkan kejadian banjir berulang,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Jafni mempengerusikan mesyuarat bersama Datuk Bandar Iskandar Puteri, Ahmad Nazir; Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), SWM Environment Sdn. Bhd. dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Mesyuarat itu bagi mempercepat tindakan penyelesaian komprehensif melibatkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang yang akan dilaksanakan MBIP untuk mengatasi banjir.
Tambah Mohd. Jafni, MBIP akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan segera di lokasi dengan membersihkan halangan dalam parit, longkang serta saliran utama yang dipenuhi sampah domestik, sisa pokok dan landskap dihanyutkan sewaktu bah.
“MBIP juga akan memulakan proses penyediaan dokumen sebut harga dan tender untuk pelaksanaan kerja-kerja penggalian mendapan serta pembersihan di dasar parit dan saliran utama.
“Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf di lokasi banjir yang tidak melibatkan kajian khusus akan turut dilaksanakan MBIP dalam masa terdekat,” ujarnya.