SISA MAKANAN DIJANGKA MENINGKAT 20% SEMPENA RAMADAN

JOHOR, 04 March 2025
SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) menjangkakan janaan sisa makanan sepanjang bulan Ramada pada tahun ini meningkat sekitar 10 peratus sehingga 20 peratus berbanding tahun lepas.
Pengurus Besar Korporat SWM, Mohd Norlisam Mohd Nordin menasihatkan pengguna berbelanja secara berhemah dan membeli makanan mengikut keperluan terutama ketika membeli juadah di bazar Ramadan.
“SWM Environment menyeru agar orang ramai bersama-sama menjayakan kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran (Value Food, No Waste) untuk mengurangkan sisa makanan. Pada masa masa yang sama, orang ramai juga dinasihati untuk membeli juadah di bazar Ramadan secara berhemah.” tambah beliau.
Mohd Norlisam juga mengalakkan orang ramai untuk membudayakan amalan guna semula seperti membawa bekas makanan sendiri yang boleh diguna semula ketika membeli juadah di bazar Ramadan bagi mengurangkan penggunaan bungkusan pakai buang sekali guna.
Dalam pada itu, terdapat individu yang menilai semula tabiat perbelanjaan mereka sempena kedatangan bulan Ramadan ini dengan berusaha untuk mengurangkan pembaziran makanan dan mengelakkan perbelanjaan berlebihan.
Bagi pengantin baharu, Nur Mysara Ahmad Fauzi, 25 tahun, beliau rancang untuk menyambut bulan Ramadan secara bersederhana termasuk dalam penyediaan juadah bersahur.
“Saya dan suami amat menantikan bulan Ramadan ini kerana pertama kami menyambutnya sebagai pasangan suami isteri selepas bernikah pada Januari.”
Jelas beliau, jika terdapat lebihan makanan, selalunya akan di simpan ke dalam peti sejuk dan memanaskannya untuk dimakan kemudian bagi mengelakkan pembaziran.
Sementara itu, seorang jurugambar bebas, Mohd Eddy Jaafar, 32 tahun, pula tidak akan berkunjung ke bazar Ramadan.
“Juadah di bazar Ramadan terlalu mahal dan menggunakan bungkusan plastik yang banyak. Isteri saya pula lebih memilih makanan masakan sendiri dan akan memasak lebih kerap pada bulan Ramadan.”