SKUAD KILAT MBJB SIAP SEDIA: FOKUS KAWASAN BANJIR KILAT

JOHOR, 20 March 2025
(JOHOR BAHRU, 19 MAC) Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dato’ Mohd Haffiz Ahmad berkata, Skuad Kilat MBJB sentiasa bersiap sedia 24 jam sehari sepanjang musim hujan ini dan akan memberi fokus kepada kawasan tumpuan banjir kilat.
“Terdapat beberapa lokasi kawasan tumpuan banjir di bawah pentadbiran MBJB dan kita kan beri fokus kepada persediaan di lokasi tersebut.”
Tambah beliau lagi, penguatkuasa trafik MBJB akan bertugas sempena Hari Raya Aidilfitri nanti dan bekerjasama dengan pihak polis trafik bagi memastikan kelancaran trafik di sekitar Bandaraya Johor Bahru pada tempoh tersebut.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Program Rewang Rendang Ramadan MBJB 2025 di Arena Larkin, di sini.
1,500 KG RENDANG DAGING DIEDARKAN KEPADA 6,600 ORANG
Sementara itu, Program Rewang Rendang Ramadan MBJB 2025 telah disediakan seawal jam 7.30 pagi sehingga jam 3.00 petang tadi oleh seramai 500 orang sukarelawan daripada agensi awam dan syarikat swasta.
Sebanyak 30 periuk rendang dimasak dan dibungkus secara konsep rewang melibatkan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, kakitangan dari MBJB, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai serta Pejabat ADUN larkin serta Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd. (MRTS), Yayasan Bandaraya Johor Bahru, SAJ Ranhill Sdn. Bhd. dan SWM Environment Sdn. Bhd.
Menurut Mohd Haffiz, program yang memasuki tahun kedua tersebut menyaksikan sebanyak 1,500 kilogram rendang daging diedarkan kepada 6,600 orang warga bandar raya. Katanya lagi, pengagihan dibuat secara pandu lalu pada jam 3 petang di perkarangan Stadium Tertutup Arena Larkin.