3,223 tan sisa makanan dilupus dalam tempoh 7 hari

...

KULAI, 14 March 2025

Sebanyak 3,223 tan sisa makanan dilupuskan di tapak pelupusan sampah setiap hari, dalam tempoh minggu pertama puasa di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan sisa makanan dilupuskan, berbanding 4,559 tan dalam tempoh sehari pada tahun lalu,

"Secara keseluruhan, berbanding tahun lalu, penurunan sisa berhasil dan menunjukkan tanda positif.

"Ini adalah hasil program Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran, anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama rakan strategik sejak 2015, untuk mengurangkan pembaziran makanan dan jumlah sisa makanan yang dilupuskan ke tapak pelupusan.

"Objektif kempen ini disasarkan berikutan hasil dapatan kajian komposisi sísa pepejal mengikut komponen yang dijalankan oleh SWCorp, merekodkan sisa makanan adalah sisa yang paling banyak dilupuskan di tapak pelupusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi libat urus kempen itu bertemakan Cabaran Sebulan Tanpa Pembaziran sempena Ramadan di bazar Ramadan Jalan Merbau, Bandar Putera, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khaled Mohamed dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.

Mengikut data tahun lalu, program MySaveFood@Ramadan 2024 berjaya menyelamatkan sebanyak 3,265 kilogram (kg) lebihan makanan dari 51 bazar Ramadan di negeri ini.

Sementara itu, Khaled berkata, sehingga kini, sebanyak 1,585.48 kg makanan berjaya dikumpulkan daripada 29 bazar Ramadan di negeri ini.

"Pada tahun lalu, projek ini berjaya menyelamatkan sebanyak 60,798.8 kg lebihan makanan yang dianggarkan bernilai RM717,021.18 dari 147 bazar di seluruh Malaysia.

"Lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga bazar diselamatkan dan diberikan kepada masjid berhampiran, pelajar institut pengajian tinggi dan anggota badan beruniform yang sedang bertugas," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/03/1196771/3223-tan-sisa-makanan-dilupus-dalam-tempoh-7-hari