Johor lupus 3,223 tan sisa pepejal sehari

KULAI, 14 March 2025
Johor merekodkan pelupusan sisa pepejal sebanyak 3,223 tan sehari dalam tempoh minggu pertama Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 4,559 tan dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama rakan strategik sejak 2015 berjaya mengurangkan pembaziran makanan serta jumlah sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan.
“Pengurangan pelupusan sisa makanan ini membuktikan kejayaan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran (VFNW) dalam mendidik masyarakat agar mengelakkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.
“Kejayaan ini turut disokong oleh program MySaveFood@Ramadan, di mana SWCorp bersama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia mengedarkan juadah tidak terjual di bazar Ramadan ke masjid, sekolah, dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi libat urus VFNW bertemakan Cabaran Sebulan Tanpa Pembaziran di Bazar Ramadan Jalan Merbau, Bandar Putera, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khaled Mohamed, dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.
Tambah Mohd Jafni, mengikut data tahun lalu, program MySaveFood@Ramadan 2024 berjaya menyelamatkan 1,339 kilogram lebihan makanan daripada 35 bazar Ramadan di Johor.