PEKERJA TERUSKAN PERKHIDMATAN SEMASA HARI RAYA.
SEREMBAN, 20 May 2020 SWM Environment merangka strategi bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri pada minggu hadapan. Pihak syarikat telah menyusun rangka kerja bagi memastikan perkhidmatan berjalan dengan lancar semasa sambutan Hari Raya. Menurut Pengurus Wilayah Melaka & Negeri Sembilan, SWM Environment Sdn Bhd, Dr Al’Ashari Bin Haji Othman, pekerja, kenderaan dan jentera-jentera akan bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri. Beliau memberitahu pada Hari Raya pertama, sejumlah 37 kenderaan lori kompaktor dan lori tipper terbuka dengan anggota seramai 365 orang akan bertugas, manakala pada Hari Raya kedua pula seramai 1,004 anggota dan sejumlah 172 lori kompaktor dan lori tipper terbuka akan bertugas pada hari tersebut. Pihak operasi juga turut mengenal pasti lokasi-lokasi yang memerlukan perhatian untuk kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam terutamanya di pasar-pasar awam, pusat membeli-belah atau pasaraya, lokasi tong pusat, rumah pangsa, kem tentera dan juga pantai dan lokasi tumpuan pengunjung. Pihak syarikat menjalankan operasi kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti biasa di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan mengambil berat akan keselamatan para pekerja di lapangan dengan memastikan pekerja yang bertugas untuk sentiasa menggunakan alat keselamatan diri (PPE) yang lengkap seperti sarung tangan dan penutup hidung dan mulut, menggunakan pembersih tangan dan menjaga kebersihan diri sepanjang masa bagi mengelakkan jangkitan wabak COVID-19.