SWM Environment & UiTM perkukuh kesedaran kitar semula

...

AYER KEROH, 01 March 2025

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan masyarakat.

“Kerjasama ini menumpukan kepada elemen komunikasi, pendidikan, dan kesedaran awam berhubung pengurusan sisa pepejal, kelestarian alam, serta kepentingan amalan kitar semula,” katanya kepada pemberita, di sini.

Selain itu, jalinan strategik itu turut merangkumi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kempen kesedaran awam, bertujuan mengubah perilaku rakyat terhadap pengurusan sisa pepejal secara lebih berhemah.

“Usaha ini diharap dapat mewujudkan gaya hidup lebih mampan serta meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar,” tambah Mohd Norlisam.

https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/swm-environment-uitm-perkukuh-kesedaran-kitar-semula