Tahap kebersihan destinasi tumpuan pelancong di Melaka ditingkatkan menjelang Tahun Baharu Cina

...

Bandar Hilir, 24 January 2025

KAWASAN tumpuan pelancong di Melaka diberi keutamaan oleh syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam SWM Environment Sdn Bhd (SWM) sepanjang cuti Tahun Baharu Cina nanti.

Pengurus Besar Korporat Syarikat SWM, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, SWM Environment akan menitikberatkan kebersihan di kawasan pelancongan di Bandar Hilir, termasuk Jonker Walk dan Bangunan Merah (Stadthuys) yang ikonik.

"Usaha ini juga akan meliputi beberapa kawasan pantai dan rekreasi di seluruh negeri itu," katanya pada Jumaat.

Terdahulu, Mohd Norlisam bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, mengagihkan kit bantuan makanan sempena Tahun Baharu Cina sebagai sebahagian daripada usaha SWM Environment untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik semasa perayaan akan datang.

Beliau berkata, operasi pembersihan di lokasi-lokasi tersebut akan bermula dari pukul 4 petang hingga 1 pagi setiap hari, bermula 29 Januari sehingga 2 Februari.

Mohd Norlisam juga memaklumkan bahawa kutipan sisa domestik dan sisa pukal di seluruh negeri semasa perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan seperti yang dijadualkan, tanpa sebarang penambahan atau perubahan jadual kutipan.

"Ini termasuk operasi menyapu kawasan awam, pembersihan longkang dan perkhidmatan memotong rumput.

"Orang ramai dinasihatkan untuk menguruskan sisa domestik dengan bertanggungjawab serta merujuk jadual perkhidmatan bagi kutipan sisa domestik, sisa pukal, sisa taman dan bahan kitar semula," katanya.

Mohd Norlisam turut menyatakan bahawa orang ramai boleh menghubungi talian hotline 'Indahkan Malaysia' di 1-800-88-7472 atau nombor WhatsApp rasmi di 012-618 0082 untuk sebarang pertanyaan atau maklum balas.

Berbicara mengenai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, beliau berkata, SWM Environment turut menyumbang kepada penerima bantuan yang terdiri daripada warga emas, keluarga berpendapatan rendah, individu kelainan upaya (OKU), dan pesakit penyakit kronik yang tinggal di kawasan seperti Kota Laksamana, Ujong Pasir, Malim Jaya, dan Pokok Mangga.

Tambah beliau lagi, majlis penyerahan kit bantuan makanan kepada kerajaan negeri telah diadakan baru-baru ini bagi membantu 1,000 penerima yang dikenal pasti di seluruh negeri.

"Kerjasama ini dengan agensi kerajaan dan pemimpin komuniti setempat menunjukkan keprihatinan bersama terhadap kesejahteraan masyarakat terutamanya golongan yang kurang bernasib baik," katanya. 

https://majoriti.com.my/berita/2025/01/24/tahap-kebersihan-destinasi-tumpuan-pelancong-di-melaka-ditingkatkan-menjelang-tahun-baharu-cina