3 PUTERA SULTAN JOHOR DAN YAYASAN RAJA ZARITH SOFIAH SUMBANG KEPADA 2,000 PEKERJA PEMBERSIHAN
JOHOR BAHRU, 17 May 2020 Tiga putera Sultan Johor bersama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor telah menyumbangkan sebanyak 2,000 keperluan makanan kepada pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment). Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman telah mewakili Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan Yayasan Raja Zarith Sofiah telah menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Datuk Bandar MBJB, Dato’ Adib Azhari Daud dan Pengarah Eksekutif SWM Environment, Dr. Uzir Abdul Malik di Istana Pasir Pelangi, di sini. Laman Facebook The Royal Johor dalam satu kenyataan pada hari ini melaporkan penghargaan daripada Tunku Abdul Rahman yang percaya bahawa setiap pekerja pembersihan memainkan peranan penting seperti kakitangan barisan hadapan yang lain terutama ketika penularan pandemik COVID-19. Tambah baginda lagi, majikan perlu memastikan keselamatan para pekerja pembersihan tersebut terjamin ketika menjalankan tugas. Turut hadir semasa penyerahan sumbangan berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap pemegang amanah yayasan, Dato’ Azmi Rohani dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSJ, Hishamuddin Abdul Rahim.