SWM ENVIRONMENT SIAP SEDIA HADAPI BANJIR

...

JOHOR BAHRU, 12 December 2024

SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) bersiap sedia menghadapi musim banjir di negeri Johor. 

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam tersebut telah menyediakan pelan operasi semasa banjir pada bulan lalu sebagai antara usaha persediaan menghadapi musim banjir. 

Antara langkah persediaan tersebut termasuklah memastikan sistem perparitan di 15 kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibersihkan dan tidak tersumbat sekali gus mampu mengelakkan daripada berlakunya banjir kilat. 

Selain itu, pihak SWM Environment juga akan memastikan kemudahan pengurusan sisa pepejal seperti tong sampah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir mencukupi mengikut keperluan. 

Penduduk di kawasan yang berisiko banjir pula dinasihatkan untuk menyimpan tong sampah beroda mereka di dalam kawasan rumah bagi mengelakkan hanyut di bawa arus banjir. Sekiranya terdapat kehilangan tong sampah beroda akibat arus banjir, penduduk perlu membuat laporan polis dan mengemukakan permohonan penggantian baharu. 

Jelas beliau lagi, pihak SWM Environment akan menggerakkan aset syarikat berkenaan antaranya kenderaan berjentera seperti lori waterjet, lori ultrawhack dan jentolak khusus bagi operasi pasca banjir.