KEMPEN SIFAR SISA PLASTIK SEKALI GUNA, GUNA SEMULA SJKC MASAI
JOHOR BAHRU, 29 December 2024
SJK(C) Masai komited memperhebat pendidikan kelestarian dalam kalangan murid melalui penerapan amalan, nilai dan perlaksanaan pelbagai inisiatif seperti aktiviti kitar semula.
Murid-murid akan membawa barangan kitar semula dari rumah ke sekolah pada setiap hari Rabu dan dengan bantuan guru, mereka akan menimbang dan menyusun barangan kitar semula yang akan dikutip secara berkala oleh syarikat kitar semula.
SJK(C) Masai juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif pengurangan karbon dan pendidikan kelestarian antaranya termasuklah sistem pengumpulan air hujan untuk mengairi kebun sayur mereka dan pelan sifar plastik sekali guna bagi mengurangkan pencemaran plastik.
Bagi pelan sifar sisa plastik sekali guna, pihak sekolah dengan kerjasama pengusaha kantin telah menyediakan perkakas pinggan mangkuk dan kotak makanan khusus dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Selain SWM Environment Sdn. Bhd., SJK(C) Masai turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat kitar semula bagi plastik dan minyak masak terpakai pada tahun ini yang bertujuan untuk meneroka lebih banyak potensi kitar semula barangan lain. Pihak sekolah turut bercadang untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan industri yang lain antaranya melalui Pertandingan Kitar Semula Tetra Pak untuk mengalakkan murid mengitar semula karton pek minuman sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar.
SJK(C) Masai telah memperoleh kejayaan cemerlang dalam Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) pada tahun ini antaranya dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik IMELC dan Naib Johan bagi Kategori Kitar Semula. Selain itu, sekolah juga berjaya meraih pingat emas bagi Pameran Sekolah RCE Iskandar Malaysia dan mendapat tempat kedua bagi Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS) yang kedua-duanya melibatkan syarikat swasta, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM).
Menerusi IMELC, SJK(C) Masai telah berada dalam kedudukan 10 sekolah terbaik di Johor sepanjang menyertai pertandingan tersebut dan pada tahun ini telah berjaya memenangi yang merupakan satu penghormatan dan kejayaan besar untuk sekolah. Sekolah terus mengekalkan pencapaian melalui PERKISS dengan mendapat kedudukan tiga teratas melalui pengumpulan barangan kitar semula sebanyak 30,000 kilogram.
SJK(C) Masai amat berbangga dengan kemenangan IMELC pada tahun ini dan menyasarkan untuk terus memenangi pertandingan tersebut pada tahun hadapan.