SENI MURAL CERIAKAN RENGGAM
KLUANG, 27 December 2024
Ahli Majlis Daerah Simpang Renggam, Chong Zheng Yi menyifatkan seni mural yang menghiasi dinding bangunan di Renggam bukan sekadar memberi gambaran tentang Renggam malah turut menonjolkan identiti dan ekologi setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Johor.
Jelas beliau, pihak Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) berharap agar seni mural tersebut bukan sekadar menceriakan malah menjadi daya tarikan pelancong ke Renggam. Menurut beliau, seni mural di Renggam yang baharu diwujudkan sempena sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia Peringkat Negeri Johor pada pertengahan bulan November lalu melalui satu pertandingan khusus melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Johor.
“SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) turut menjalinkan kerjasama dengan MDSR melalui seni mural instalasi arca kitar semula bertemakan Kereta Api Renggam diperbuat daripada 658 kilogram barang besi dan aluminium kitar semula yang menggabungkan nilai sejarah setempat dan kelestarian alam sekitar melalui pengurusan sisa mampan.”
Tambah beliau lagi, antara PBT yang mengambil bahagian adalah Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) melalui mural bertemakan nanas manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pula menampilkan mural tentang daya hidup generasi muda di Johor Bahru.