Pekerja pembersihan, menang kereta berkat doa anak
MELAKA, 09 December 2024
Seorang pekerja pembersihan yang menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer dengan menunggang motosikal ke Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan 2024 berbaloi selepas memenangi hadiah utama cabutan bertuah pada majlis itu.
Bapa kepada dua orang anak, Rosly Azil, 45, berjaya membawa pulang sebuah Perodua Axia pada majlis yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri, Ab Rauf Yusoh di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, pada malam Ahad.
Rosly yang menetap di Kamlung Tedong, Merlimau berkata, hadiah itu mungkin juga berkat doa anak perempuannya berusia 15 tahun yang selalu mengharapkannya untuk memiliki kenderaan baharu selepas
kereta Perodua Kancil miliknya rosak sejak setahun lalu.
Dia yang sudah lebih 10 tahun menduda menganggap hadiah cabutan bertuah ini sebagai rezeki dari ALLAH SWT yang tidak disangka dan dapat digunakan untuk menghantar anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.
"Dulu memang ada kereta tapi asyik rosak, jadi nak tak nak pergi ke mana-mana termasuk hantar anak sekolah dengan motosikal sahaja walaupun hujan.
"Syukur ALLAH SWT mendengar doa kami dua beranak dan dengan ada kereta ini juga dapat saya melawat anak sulung yang kini tinggal bersama bekas isteri di Tanjung Bidara, Masjid Tanah," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Tambahnya, dengan adanya kereta baharu ini juga dapat dia memberi semangat kepada anak tunggal lelakinya berusia 17 tahun dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Dia yang hampir tiga tahun bekerja di SWM Environment Sdn Bhd berkata, disebabkan masalah kewangan sukar untuknya membaik pulih kereta lama yang memerlukan kos tinggi.
"Pernah juga beberapa kali saya baiki kereta Kancil itu hingga mencecah ribuan ringgit, tapi rosak juga dan akhirnya saya tak mampu nak hantar ke bengkel lagi.
"Rupanya ALLAH suruh saya sabar dan terharu dengan usaha kerajaan negeri yang meraikan kami pekerja pembersihan," ujarnya
Tambahnya, dia berharap majlis seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi menyuntik semangat wira tak di dendang seperti mereka.
Pada majlis itu, Ab Rauf mengumumkan nama Rosly sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah yang turut dihadiri kira-kira 4,000 pekerja pembersihan daripada pelbagai agensi di seluruh negeri Melaka.