PEKERJA PEMBERSIHAN MENANG KERETA, HAJAT MAHU BAWA ANAK MAKAN ANGIN TERMAKBUL
AYER KEROH, 09 December 2024
Rezeki tidak salah alamat. Itu gambaran tuah seorang pekerja pembersihan, apabila memenangi sebuah kereta Perodua Axia pada Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Rosly Azil, 45, mengakui terkejut apabila namanya diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh
sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah pada majlis tersebut.
Jelas anak jati Kampung Tedong, Merlimau itu dia tidak pernah mengimpikan akan dihargai dalam satu majlis makan malam cukup luar biasa dan akan menerima hadiah yang cukup istimewa daripada Kerajaan Negeri.
“Syukur Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan urusan, saat ini saya masih tidak percaya dapat membawa pulang sebuah kereta.
“Sejujurnya, saya dan isteri memang sedang kumpul duit untuk beli kereta kerana buat masa ini kami hanya ada motosikal untuk bergerak kemana-mana.
“Sebelum ini pernah memiliki kereta Kancil, namun telah rosak. Lepas ini bolehlah saya bawa isteri dan dua anak saya pergi ‘makan angin’,” katanya dalam nada sebak.
Rosly berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), yang disempurnakan Ketua Menteri, malam tadi.
Majlis itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi menghargai lebih 4,000 pekerja pembersihan daripada pelbagai agensi seluruh Negeri Melaka.
Dalam pada itu, Rosly yang baru memasuki tahun ketiga berkhidmat sebagai pekerja pembersihan di SWM Environment Sdn Bhd memuji inisiatif Kerajaan Negeri menghargai kesemua wira dan wirawati pembersihan dalam satu majlis penuh gilang-gemilang.
Bapa dua anak itu turut berharap majlis seumpama itu akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang, selain dijadikan contoh oleh negeri lain dalam menghargai jasa dan keringat pekerja pembersihan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri sudi meraikan kami pekerja pembersihan, dengan majlis seumpama ini sedikit sebanyak memberi motivasi dan semangat untuk kami untuk terus memastikan Melaka menjadi sebuah negeri yang bersih dan indah,” ujarnya.