MELAKA CERIAKAN KOMUNITI INDIA SEMPENA DEEPAVALI
TANJUNG BIDARA, 21 October 2024
Seramai 1,000 masyarakat India di negeri ini menerima sumbangan bagi menyambut Perayaan Deepavali, tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan yang disalurkan setiap tahun itu bertujuan mengurangkan bebanan keluarga kurang berkemampuan bagi menyambut perayaan pesta cahaya itu.
Jelasnya, Program Sumbangan Bantuan Perayaan Negeri Melaka yang disalurkan menerusi Tabung Amanah Kebajikan negeri telah memperuntukan sebanyak RM200,000 untuk diagihkan ke setiap Parlimen menjelang Deepavali.
“Sejak dahulu lagi Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan cakna dalam usaha meringkankan bebanan dalam apa jua perayaan tanpa meminggirkan kaum agama dan politik supaya kita dapat meraikan hari yang paling penting dalam anutan kita.
“Semoga sumbangan ini akan memberikan manfaat buat mereka dari seluruh Parlimen di negeri ini dan besar harapan saya sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan penerima sumbangan yang diraikan.
“Kerajaan Negeri sentiasa mendengar keluh kesah rakyat, denyut nadi rakyat dan cakna dengan segala aduan serta masalah yang membelenggu mereka termasuk anak yatim, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan juga golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyampaian Sumbangan Deepavali Tahun 2024 Peringkat Parlimen Masjid Tanah, di Villa D’ Acqua di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk VP Shanmugam; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah serta tetamu lain.
Pada program itu, seramai 175 komuniti India dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah telah menerima sumbangan wang tunai dan kit makanan sumbangan SWM Environment Sdn Bhd disampaikan Ab Rauf selepas merasmikan program berkenaan.