17,160 puntung rokok cemari Pantai Saujana

...

PORT DICKSON, 23 September 2024

Sebanyak 17,160 puntung rokok telah dikutip menerusi program pembersihan di Pantai Saujana dekat sini menerusi program World Clean Up Day 2024 yang dijalankan oleh syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) baru-baru ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan berbanding sejumlah 8,356 puntung rokok pada tahun 2022 dan 10,651 puntung rokok yang dikumpulkan pada tahun lalu.

“Tahun ini merupakan tahun keenam kami menyambut World Clean Up Day dan tahun ini kami bersama-sama 200 orang melaksanakan aktiviti pembersihan di Pantai Saujana. 

“Selain melakukan aktiviti pembersihan dan pengutipan sampah di sepanjang pantai tersebut, para sukarelawan turut melaksanakan pengauditan sisa yang bertujuan untuk mengenal pasti jenis sisa yang dijana di sekitar pantai bagi memahami corak pembuangan sampah di kawasan pesisiran pantai.

“Pada tahun ini, program World Clean Up Day 2024 berjaya mengumpulkan sejumlah 17,160 puntung rokok, 7,392 cebisan plastik dan polisterin dan 1,094 helai beg plastik iaitu tiga sisa yang tertinggi yang dikumpulkan oleh sukarelawan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Norlisam, pengauditan sisa itu akan memberikan maklumat penting tentang jenis sampah yang dihasilkan oleh para pengunjung, terutamanya cebisan kecil yang sering tidak disedari tetapi membawa ancaman serius kepada ekosistem marin.

Sisa kecil ini, walaupun nampak remeh, boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada hidupan laut,” katanya lagi. Selain itu, katanya, sebanyak 203 penutup botol plastik dan 178 bekas minuman plastik turut berjaya dikumpulkan semasa pelaksanaan aktiviti pembersihan yang merupakan antara jenis sisa paling banyak dijumpai serta paling berbahaya.

“Bahan-bahan ini mengambil masa ratusan tahun untuk terurai dan sering dimakan oleh haiwan marin, menyebabkan kemudaratan kepada ekosistem,” menurutnya lagi yang turut berharap program berkenaan dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mengambil tanggungjawab dan tindakan lebih besar ke arah pemuliharaan alam sekitar. 

https://www.utusan.com.my/berita/2024/09/17160-puntung-rokok-cemari-pantai-saujana/