Masih sukar buang diskriminasi pencari kerja OKU

...

MELAKA, 16 July 2024

Kecekalan seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak tidak pernah luntur walaupun kerap berdepan diskriminasi daripada pihak majikan ketika hendak mencari pekerjaan.

Bagi Muhammad Luqman Hashim, 34, majikan sukar menerima kekurangan dirinya menyebabkan permohonan kerjanya sering ditolak.

Katanya, dia berasa penat kerana perlu mengulang proses temuduga yang sama seperti menulis, namun peluang tidak pernah diberikan oleh majikan.

“Dulu sukar hendak dapat kerja kerana wujud diskriminasi terhadap OKU. Majikan akan minta kita menulis untuk menilai kebolehan tetapi tetap tidak dapat kerja.

“Hari-hari saya ulang alik dari Bukit Baru untuk mencari kerja sampai satu tahap saya berasa penat. Bagaimanapun, saya kuatkan semangat demi ibu bapa yang turut membantu saya mencari pekerjaan. 

“Akhirnya ada majikan yang sudi mengambil saya bekerja di kilang papan di Pulau Pinang dan buruh kasar di Batu Berendam sebelum berkhidmat dengan SWM Environment sebagai pekerja pembersihan sejak 2018,” katanya kepada pemberita di sini, semalam

Tambah Muhammad Luqman, penerimaan positif terhadap dirinya oleh pengurusan SWM Environment dan rakan sekerja membuatkan dia berasa dihargai sama seperti pekerja normal lain.

Menurutnya, peringkat awal sedikit mencabar kerana telefon dijadikan medium untuk berkomunikasi.

“Kemudian penyelia dan rakan sekerja mengambil insiatif sendiri untuk belajar bahasa isyarat. Walaupun tidak mahir tetapi saya faham apa yang mereka hendak sampaikan.

“Nasihat saya kepada OKU lain agar tidak berputus asa dalam mencari pekerjaan. Pelbagaikan kemahiran diri supaya menjadi nilai tambah yang dapat ‘memikat’ hati majikan,” ujarnya. 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/07/masih-sukar-buang-diskriminasi-pencari-kerja-oku/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&utm_campaign=utusan%20online&fbclid=IwZXh0bgNhZW0CMTEAAR3l3WMCYtiHBGz4EP5OHFZc_wp5abg6k4EG3miJA6F2jRnxeD8f9F_o5O0_aem_0I-cExVo6GuOZpmCSi3l3A