PEKEDAI, PENJAJA DAN PENGHUNI RUMAH KEDAI HADAPI MASALAH SAMPAH

...

JOHOR BAHRU, 10 July 2024

Masalah sampah di lorong belakang telah membelenggu para peniaga dan penjaja pasar lambak di Jalan Sutera, Taman Sentosa, di sini sejak sekian lama. 

Masalah tersebut timbul berpunca daripada tindakan penjaja setempat yang tidak membuang sisa perniagaan mereka secara tertib sehingga tong sampah penuh dan melimpah bertaburan serta menjejaskan kebersihan persekitaran. Malah, tong sampah yang disediakan oleh penjaja pasar malam turut menerima kesan sehingga dikeluarkan dari lokasi tersebut. 

Dalam satu temu bual bersama wakil Persatuan Penjaja Pasar Malam Taman Sentosa, tong sampah penjaja pasar malam telah dikeluarkan dari lokasi tersebut pada Julai tahun lalu dan beliau telah mengemukakan permohonan baharu kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan agensi berkaitan bagi penempatan semula tong sampah berkenaan. 

Langkah penarikan tong sampah tersebut telah menyebabkan para peniaga menempatkan sisa perniagaan mereka di lorong belakang sehingga dikutip oleh pihak yang berkenaan. Permohonan baharu yang dikemukakan beliau telah diluluskan pada awal bulan Jun lalu dengan bantuan daripada Ahli Majlis Zon Taman Sentosa, Ng Lied Ying. 

Tong sampah baharu telah diluluskan untuk ditempatkan di Jalan Sutera 6, Taman Sentosa berdekatan dengan tapak Pasar Malam Taman Sentosa. Beliau memaklumkan bahawa tong sampah berkenaan dikhususkan untuk para penjaja pasar malam dan berharap agar peniaga setempat tidak mengambil kesempatan dengan membuang sampah ke tong sampah tersebut. 

Sementara itu, beliau mencadangkan kepada pemilik premis perniagaan setempat untuk memohon tong sampah tambahan bagi untuk menampung keperluan perniagaan mereka. 

Sementara itu, Ng Lied Ying memberitahu bahawa tapak Pasar Malam Taman Sentosa telah berhubung dengan beliau sekitar bulan Mei lalu tentang tong sampah yang sebelum ini ditempatkan di lorong belakang telah ditarik semula dan berharap beliau dapat membantu mendapatkan semula kemudahan tong sampah tersebut.

Jelas beliau, lorong belakang tersebut menjadi kawasan larangan pembuangan sampah sebaik tong sampah yang disediakan telah ditarik semula pada 23 Julai tahun lalu. Setelah memahami situasi tersebut, beliau telah membantu dalam penempatan semula tong sampah oleh SWM Environment di Jalan Sutera 6 sejak 5 Jun lalu. 

Dalam pada itu, pengusaha restoran yang ditemui pula berkata, mereka telah menempatkan tong sampah di lorong belakang dan lori kutipan sampah akan melaksanakan kutipan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Masalah lain yang dihadapi mereka adalah sikap penghuni rumah kedai yang turut membuang sampah ke dalam tong sampah mereka dan didapati melimpah terutama semasa cuti hujung minggu.