SWCorp sasar kurangkan peratusan kebergantungan pekerja pembersihan warga asing

...

SEREMBAN, 14 June 2024

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan pengurangan peratusan kebergantungan tenaga pekerja pembersihan warga asing sehingga 25 peratus dalam tempoh lima tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, ketika ini kebergantungan kepada tenaga pekerja pembersihan warga asing berada pada tahap agak tinggi berbanding pekerja tempatan iaitu 32.58 peratus daripada jumlah keseluruhan 27,345 orang pekerja.

“Di sini kita dapat lihat bahawa sektor ini masih bergantung kepada sumber tenaga pekerja asing dan seharusnya pekerjaan yang mulia ini menjadi kerjaya pilihan sebagai sumber pendapatan bagi rakyat Malaysia.

“Sebab itu, kita sasarkan untuk kurangkan peratusan tersebut (kebergantungan tenaga pekerja pembersihan warga asing) dalam sektor ini melalui beberapa jalinan kerjasama yang dilaksanakan bersama pihak konsesi dan agensi-agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Anugerah Pekerja Cemerlang SWM Environment Sdn. Bhd. Negeri Sembilan bersempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2024 dan Ulang Tahun SWCorp Ke-16 Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini. 

Yang hadir sama, Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Hazahar Hashim dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin. 

Seramai 32 pekerja pembersihan dan tiga kakitangan syarikat konsesi SWM Environment diraikan dalam program tersebut. 

Ahmad Husaini sementara itu berkata, bagi meningkatkan bilangan tenaga pekerja tempatan dalam sektor itu, pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan Jabatan Penjara menerusi program di Sebalik Tirai Besi.

“Ia dengan meluaskan Program Pensijilan Kemahiran Malaysia di mana warga penjara yang terpilih diberi latihan untuk diserapkan dalam tenaga kerja sektor pembersihan.

“Dengan adanya program-program berbentuk pensijilan SKM dalam bidang ini dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, ia sekaligus dapat meningkatkan lagi taraf sektor pekerjaan pembersihan serta tangga gaji pekerja. 

“Bila ada sijil, tahap gaji dapat ditingkatkan dan ia akan mengurangkan persepsi sekali gus mengangkat martabat pekerjaan ini. Kita akan teruskan dari tahun ke tahun dalam usaha menarik minat lebih ramai tenaga pekerja tempatan dalam sektor ini,” katanya lagi.

https://www.utusan.com.my/berita/2024/06/swcorp-sasar-kurangkan-peratusan-kebergantungan-pekerja-pembersihan-warga-asing/