Pekerja OKU tidak malu kerja sektor pembersihan awam

...

SEREMBAN, 05 June 2024

“Meskipun dunia kerja kami kotor tetapi wang yang kami terima adalah bersih dan halal”.

Itu ungkapan seorang petugas syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Negeri Sembilan berstatus orang kurang upaya (OKU), Mohd. Hasif Abd. Rani, 37.

Dia memberitahu, kekurangan pendengaran yang ada pada dirinya bukanlah halangan untuknya meraih pendapatan tetap dan halal dengan bekerja di syarikat itu sejak dua tahun lalu.

“Saya kini mampu berdikari tanpa mengharapkan kedua ibu bapa dan adik-beradik untuk membantu saya menjalani kehidupan seharian. Alhamdulillah saya juga dapat membantu ibu bapa saya dengan berkongsi rezeki setiap bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohd. Hasif yang bertugas di bahagian sapuan merupakan antara 18 orang pekerja berstatus OKU yang bekerja dengan syarikat terbabit.

Sementara itu, seorang lagi petugas OKU, Mohd. Rossazali Roslan, 42, memberitahu, dia telah bekerja di bahagian pembersihan longkang sejak tahun 2022.

“Mereka memberikan saya panduan menerusi aplikasi WhatsApp untuk dipatuhi agar kerja yang dilaksanakan adalah selamat untuk saya dan orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, petugas di SWM Environment yang berstatus OKU juga menerima faedah sama seperti pekerja lain.

Katanya, ada di antara pekerja OKU yang mampu mempertingkatkan keupayaan diri menjadi ketua dan mengetuai pekerja-lain yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

https://www.utusan.com.my/berita/2024/06/pekerja-oku-tidak-malu-kerja-sektor-pembersihan-awam/