SWM ENVIRONMENT SUMBANG KELENGKAPAN PPE

...

JOHOR BAHRU, 05 May 2020 SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) tampil menyumbangkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang terdiri daripada pelitup muka dan sarung tangan kepada kontraktor di bawah SWM Environment di negeri Johor. Ia sebagai salah satu usaha bagi memastikan tenaga kerja mereka terhindar daripada sebarang risiko jangkitan wabak Covid-19. “Kelengkapan tersebut disumbangkan kepada 31 kontraktor di bawah SWM Environment dengan melibatkan seramai 417 orang anggota kerja sebagai meningkatkan langkah keselamatan dan pencegahan jangkitan pandemik Covid-19 dalam kalangan mereka ketika bertugas di lapangan,” kata Pengurus Wilayah Johor SWM Environment, Mohd Zan Arris. Jelas beliau, sumbangan PPE tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihak SWM Environment membentuk kesedaran tentang perlindungan dan penjagaan kesihatan diri yang telah bermula sejak Februari lalu melalui pelbagai pengisian seperti taklimat kesedaran perlindungan diri merangkumi kaedah mencuci tangan, etika batuk dan penjarakan sosial. Tambahnya, SWM Environment selaku syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang tersenarai sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandang serius penularan pandemik Covid-19 khususnya melibatkan keselamatan dan kesihatan para pekerja di barisan hadapan di negeri Johor. Kata Mohd Zan lagi, SWM Environment bukan hanya komited dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP, malah berusaha memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 melalui langkah-langkah perlindungan dan penjagaan kesihatan diri melibatkan anggota kerja di barisan hadapan. Johorkini

http://