SWM Environment edar kuih raya kepada orang ramai yang pulang ke kampung

...

MELAKA, 09 April 2024

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan meraikan perantau yang menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman melalui Program Jom Balik Kampung dibawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SWM Kasih Santun Ramadan yang diadakan di Terminal Bas Melaka Sentral, Peringgit di sini.

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin penganjuran program yang pertama kalinya dilakukan ini bukan sahaja bagi menyemarakkan sambutan menjelang Aidilfitri, malah meraikan mereka yang akan pulang ke kampung menggunakan pengangkutan awam.

“Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, program SWM Kasih Santun Ramadan kali ini mengambil pendekatan menyampaikan sumbangan berbentuk juadah berbuka puasa dan biskut raya kepada perantau yang dibuat sendiri oleh warga kerja pembersihan SWM Environment. Ini sebagai langkah sokongan syarikat kepada pekerja pembersihan yang berusaha gigih untuk meningkatkan ekonomi mereka dan menambah pendapatan sampingan serta wang hasil jualan ini dapat menampung sedikit-sebanyak perbelanjaan hari raya”.

Menurut Norlisam, sebanyak 200 pek makanan diedarkan kepada penumpang bas yang menuju ke pelbagai destinasi di seluruh negara dari Terminal Melaka Sentral dalam usaha bagi menghidupkan suasana balik kampung menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata program kali ini juga lebih bermakna apabila turut disertai pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang mengedarkan juadah berbuka puasa kepada penumpang bas yang disampaikan oleh YB Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Exco Kerja Raya, Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri.

Turut hadir bersama-sama memeriahkan Program Balik Kampung ialah Datuk Wira Md Rawi Mahmud, Pegawai Khas MAIM dan En Norariffin Nordin, Pengurus Perkhidmatan Kawasan SWM Environment Melaka.

Pada musim perayaan ini orang ramai dinasihatkan untuk menguruskan janaan sisa dari kediaman masing-masing dengan memasukkan ke dalam beg plastik sampah dan diikat kemas sebelum dilupuskan di dalam tong sampah beroda masing-masing atau di tong-tong sampah komunal berhampiran serta mengambil maklum berkaitan jadual kutipan sisa pukal dan domestik di kawasan masing-masing. Orang ramai juga dinasihatkan untuk melakukan pengasingan sisa dari rumah dengan mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas, botol kaca dan lain-lain serta mendaftar keahlian program KITARecycle bagi meraih mata ganjaran yang boleh ditebus kepada tunai.