MPJ didik masyarakat cara pengurusan sisa

...

JASIN, 09 April 2024

 Slogan ‘Asal barang jadi duit’ yang diketengahkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dalam menggalakkan orang ramai melupuskan sisa buangan dan barangan terpakai dengan betul mendapat sambutan menggalakkan.

Program ‘Trash To Cash’ yang diadakan pada Sabtu di perkarangan pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut mendapat kerjasama SWM Environment, Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM).

Setiausaha MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, program tersebut merupakan penganjuran pertama untuk tahun ini dan akan diadakan secara berkala bagi membudayakan persekitaran yang lebih baik.

“Menerusi program ini kita mengalu-alukan orang ramai untuk menghantar bukan sahaja sisa fabrik yang tidak digunakan lagi tetapi juga sisa minyak masak serta sisa 3R.

“Program ini bertujuan untuk membantu komuniti menjana pendapatan sampingan hasil daripada jualan sisa buangan yang boleh dikitar semula.

“Bukan itu sahaja, program ini juga adalah medium untuk penduduk setempat melupuskan sisa buangan terpakai dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam menyebarkan amalan pengurusan sisa pepejal dengan lebih sistematik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, menerusi penganjuran program seumpamanya juga secara tidak langsung dapat memberi makluman kepada semua bahawa setiap sisa buangan ini ada nilainya jika tahu menguruskan dengan betul.

“Hasil yang kita peroleh pada program kelmarin bagi sisa fabrik adalah sebanyak 2,500 kilogram (kg), sisa biodiesel sebanyak 1,105 kg dan sisa 3R pula sebanyak 1,500 kg.

“Untuk sisa minyak masak terpakai harga yang ditawarkan adalah RM2.50 bagi setiap sekilogram, sisa fabrik pula RM0.10 juga bagi setiap sekilogram tetapi harga sisa 3R pula bergantung kepada kategori,” katanya.

https://www.melakahariini.my/mpj-didik-masyarakat-cara-pengurusan-sisa/