SWM ENVIRONMENT TUMPU 175 LOKASI PADA AIDILFITRI

...

JOHOR BHARU, 28 March 2024

Syarikat pengurusan sisa pepejal SWM Environment akan memberikan tumpuan khas di 175 lokasi dikenal pasti di negeri ini dalam usaha mengelakkan longgokan sampah tidak terkawal semasa sambutan Aidilfitri.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dalam kenyataan berkata antara lokasi terbabit ialah  pusat bandar, jalan utama dan beberapa kawasan perumahan.

“Sekitar 20 peratus daripada keseluruhan anggota SWM Environment akan bertugas sempena hari cuti umum tersebut,” katanya.

Beliau berkata jadual perkhidmatan kutipan sisa pepejal di 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dianjakkan lebih awal bermula 6 April hingga 9 April dengan 4,500 anggota dan 580 jentera terlibat dalam mengawal limpahan sampah menjelang perayaan itu.

“SWM Environment turut memohon kerjasama daripada penduduk di kawasan perumahan untuk tidak meletakkan sebarang halangan seperti kenderaan di sepanjang laluan atau berhampiran tong sampah bagi memastikan kelancaran operasi kutipan sisa pepejal sepanjang tempoh anjakan jadual tersebut,” katanya.

Strategi anjakan itu katanya turut bertujuan memberi peluang kepada majoriti anggota SWM Environment yang beragama Islam untuk berhari raya bersama keluarga.

https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2283507