Ajak Peniaga Selamatkan Makanan Tidak Habis Dijual Sepanjang Ramadan.

...

NILAI, 15 March 2024

Kerajaan negeri meminta semua penganjur bazar Ramadan di negeri ini supaya mengadakan program selamatkan makanan yang tidak habis dijual sepanjang bulan puasa ini.


Makanan dan minuman yang dikumpulkan akan disumbangkan ke masjid, surau, rumah anak yatim dan rumah perlindungan yang memerlukan.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar berkata, menerusi data kempen yang dilaksanakan sebelum ini, berlaku peningkatan lebih makanan setiap tahun.

Beliau berkata, di Negeri Sembilan, sebanyak tujuh bazar Ramadan terpilih untuk menjayakan Program Mysavefood dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seremban (MBS), SWM Environment dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

"Sebanyak 2.6 tan makanan dan 1.9 tan minuman dikumpulkan sepanjang pelaksanaan program yang seumpama ini pada 2023 dengan kerjasama sukarelawan NGO.

"Pada 2022 sebanyak 1.1 tan dan pada 2023 pula meningkat kepada 4.5 tan. Ini ekoran peningkatan jumlah peniaga dan tapak bazar Ramadan baharu," katanya ketika pada sidang media semalam.

Terdahulu Arul Kumar menyampaikan risalah kempen berkenaan dan mengajak peniaga untuk menyertai program itu di Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai, di sini.

Beliau berkata, meskipun hanya tujuh bazar Ramadan yang dipilih untuk melaksanakan program selama 10 hari itu, namun pihaknya menyeru supaya penganjur meneruskannya sehingga penghujung puasa.

"Saya menyeru kepada penganjur bazar lain supaya melaksanakan program ini di bazar masing-masing sehingga tamat Ramadan.

"Sebelum makanan menjadi lebihan yang tidak boleh dimakan, elemen 3R (reduse, reuse dan recycle) perlu dijadikan rutin seharian bagi mengurangkan janaan sisa makanan," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1070248/tolong-dermakan-makanan-tidak-habis-terjual-di-bazar-ramadan-kepada