Pastikan tugasan lebih cekap ketika cuti panjang

...

SEREMBAN, 07 February 2024

Setiap jabatan dan agensi berkaitan serta syarikat konsesi pembersihan awam di negeri ini diingatkan supaya memastikan tugasan dilakukan dengan berkesan berikutan cuti umum minggu ini yang lebih panjang berbanding waktu lain.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, negara akan menyambut cuti umum Israk Mikraj yang bersambung dengan perayaan Tahun Baru Cina serta permulaan cuti sekolah pada minggu ini.

Katanya, situasi itu memerlukan semua pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. memastikan masing-masing berfungsi lebih cekap dan berkesan.

“Antaranya memastikan kawasan sekitar bersih dan teratur bagi menceriakan suasana sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

“Pada masa sama PBT mesti meningkatkan pemantauan dan tindakan kerana kita tidak mahu berlaku kemalangan yang tidak diingini berpunca daripada faktor seperti jalan berlubang,” katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin turut mengulangi peringatan supaya setiap aduan daripada orang ramai diberi perhatian segera oleh pihak yang berkaitan.

“Kalau boleh kita tidak mahu aduan tapi kalau ada aduan segerakan tindakan kerana ia boleh mengelak daripada kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

Beliau berkata, peringatan itu penting kerana semua orang mahu perayaan yang menjelang tiba dapat disambut dalam suasana yang riang dan gembira.

Menurutnya, cuti yang panjang memberi peluang kepada orang ramai mengeratkan hubungan, mengukuhkan perpaduan dan meningkatkan keyakinan kepada negara menuju kejayaan.

Sementara itu, sebelum sidang akhbar tersebut, beliau turut menerima sumbangan sebanyak RM52,500 daripada pihak SWM Environment sempena Tahun Baru Cina menerusi program tanggungjawab sosial korporat, SWM Kasih Misi Sampul Merah.

Menerusi program itu, setiap keluarga akan menerima baucar tunai bernilai RM150 yang boleh digunakan di rangkaian pasar raya Speedmart berhampiran kediaman masing-masing dan boleh ditebus dalam tempoh setahun dari tarikh yang tercatat pada baucar tersebut.

https://www.utusan.com.my/berita/2024/02/pastikan-tugasan-lebih-cekap-ketika-cuti-panjang/