1,018 Pekerja Kutipan Sisa Domestik Bertugas Pada Tahun Baharu Cina

...

SEREMBAN, 05 February 2024

Sebanyak 170 buah kenderaan kompaktor dan lori pukal akan disediakan pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di negeri ini pada hari pertama sambutan perayaan Tahun Baharu Cina iaitu pada Sabtu ini bagi memastikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam berjalan lancar.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, untuk tujuan itu juga, seramai 1,018 pekerja kutipan sisa domestik dan pukal turut bertugas pada hari tersebut seterusnya seramai 351 pekerja akan bertugas pada hari kedua bersama 30 buah kenderaan.

“Kami juga telah mengenal pasti lokasi-lokasi di lapan buah daerah terutamanya lokasi tong pusat yang terletak di 40 lokasi, 30 lokasi rumah pangsa dan apartmen serta dua buah lokasi tumpuan pelancong iaitu di Pusat Pemborong Nilai 3 dan Ulu Bendol, Kuala Pilah agar sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selesa kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Strategi Operasi Tahun Baharu Cina di Pusat Pandu KITARecycle, Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.

Sementara itu, Mohd. Norlisam berkata, pihaknya turut menggerakkan seramai 64 orang petugas di 18 buah kawasan pantai di Port Dickson yang turut dibawah perkhidmatan syarikat itu.

Menurutnya, kenderaan pembersihan pantai juga akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan pada awal pagi di lima buah pantai termasuk kenderaan kutipan sisa pepejal kompaktor dan lori terbuka bagi mengangkut sisa pukal.

“Kami juga menyediakan sebanyak 221 buah tong sampah beroda berkapasiti 120 liter dan 1,100 liter bagi menampung jumlah sampah yang dijana oleh pengunjung di 18 buah pantai di Port Dickson sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini, katanya lagi. 

https://www.utusan.com.my/berita/2024/02/1018-pekerja-kutipan-sisa-domestik-bertugas-pada-tahun-baharu-cina/