90,000 kg sisa banjir dikutip, dibersihkan di Kota Tinggi

...

JOHOR BAHRU, 15 January 2024

JOHOR BAHRU: Sebanyak 90,000 kilogram (kg) sisa banjir di Kota Tinggi telah dibersihkan menerusi melalui Operasi Pembersihan Pasca Banjir yang bermula sejak Jumaat lalu.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin, berkata operasi berkenaan membabitkan seramai 130 anggota kerja SWM Environment dari Kota Tinggi selain Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.

Katanya, operasi bersepadu itu turut membabitkan 22 jentera seperti lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan jentolak dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas.

“Selain Kota Tinggi, SWM Environment juga sudah memulakan operasi pembersihan pasca banjir di Mersing pada hari ini.

“SWM Environment telah memulakan Misi Bantuan Banjr dengan menyelaraskan Operasi Kutipan Sisa Pepejal di pusat pemindahan sementara (PPS) melalui penyediaan kemudahan tong-tong sampah yang mencukupi.

“Perkhidmatan kutipan sisa pepejal berjadual turut dilakukan di hampir keseluruhan PPS termasuk yang berada di luar kawasan perkhidmatan kami, bagi memenuhi keperluan serta memastikan kebersihan dan keselesaan mangsa banjir di semua PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kota Tinggi antara daerah di Johor yang terjejas teruk, pusat bandarnya lumpuh ditenggelami bah dengan lebih 4,000 mangsa banjir daripada hampir 1,000 keluarga terpaksa berlindung di 24 PPS.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata, SWM Environment telah menyelaraskan anggota dan jentera bagi membantu mangsa banjir di seluruh Johor menerusi Misi Bantuan Banjir membabitkan dua fasa iaitu Operasi Kutipan Sisa Pepejal di PPS dan Operasi Pembersihan Pasca Banjir.

Beliau turut memaklumkan SWM Environment sedia menerima permohonan penggantian tong sampah beroda (TSB) yang rosak atau hanyut akibat kejadian banjir.

“Setiap penduduk yang terjejas perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian di laman sesawang www.swm-environment.com bersama salinan laporan polis tentang kehilangan TSB akibat kejadian banjir,” katanya.

Pertanyaan tentang prosedur penggantian TSB, tersebut boleh disalurkan melalui Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.

https://www.buletintv3.my/nasional/90000-kg-sisa-banjir-dikutip-dibersihkan-di-kota-tinggi/