90,000 kg sisa banjir di Kota Tinggi
JOHOR BAHRU, 22 December 2023
OPERASI pembersihan pasca banjir di Kota Tinggi yang dilancarkan SWM Environment sejak Jumaat lalu.
Johor Bahru: Sebanyak 90,000 kilogram (kg) sisa banjir di Kota Tinggi dibersihkan menerusi Operasi Pembersihan Pasca Banjir yang bermula Jumaat lalu.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, operasi itu membabitkan 130 anggota kerja SWM Environment Kota Tinggi selain Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.
Katanya, ia turut menggunakan 22 jentera seperti lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan jentolak, bagi membantu kerja pembersihan mangsa banjir.
"Selain Kota Tinggi, SWM Environment juga sudah memulakan operasi pembersihan pasca banjir di Mersing pada hari ini.
"Kita memulakan Misi Bantuan Banjir dengan menyelaraskan Operasi Kutipan Sisa Pepejal di pusat pemindahan sementara (PPS) melalui penyediaan tong sampah yang mencukupi.
"Perkhidmatan kutipan sisa pepejal berjadual turut dilakukan di hampir keseluruhan PPS termasuk yang berada di luar kawasan perkhidmatan kami, bagi memenuhi keperluan serta memastikan kebersihan dan keselesaan mangsa banjir di semua PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.
Banjir minggu lalu menyaksikan Kota Tinggi antara daerah terjejas teruk di Johor apabila pusat bandarnya lumpuh ditenggelami bah dengan lebih 4,000 mangsa terpaksa berlindung di 24 PPS.
Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata, SWM Environment sudah menyelaras anggota dan jentera bagi membantu mangsa banjir di seluruh Johor menerusi Misi Bantuan Banjir membabitkan dua fasa iaitu Operasi Kutipan Sisa Pepejal di PPS dan Operasi Pembersihan Pasca Banjir.
Katanya, rancangan Misi Bantuan Banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) disusun sejak Oktober tahun lalu dengan kerjasama erat antara pelbagai agensi.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan SWM Environment sedia menerima permohonan penggantian tong sampah beroda (TSB) yang rosak atau hanyut akibat kejadian banjir.
"Setiap penduduk yang terjejas perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian di laman sesawang www.swm-environment.com bersama salinan laporan polis tentang kehilangan TSB akibat kejadian banjir," katanya.
Pertanyaan tentang prosedur penggantian TSB, tersebut boleh disalurkan melalui Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.