Pusat kitar semula pandu lalu Taman Botanikal Ayer Keroh telah mengumpul 20 tan barangan kitar semula setakat ini

...

AYER KEROH, 18 December 2023

Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (PPLK) seliaan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) yang pertama di negeri Melaka di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh di sini mencatatkan 19,782 kilogram (19.78 tan) barangan kitar semula yang dihantar ke pusat berkenaan sejak ia mula beroperasi sehingga 11 Disember yang lalu.

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Tuan Haji Mohd Norlisam Mohd Nordin, sejak PPLK Taman Botanikal Melaka beroperasi secara rasmi pada 30 Mei lalu, kemudahan ini dilihat mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai dalam menghantar pelbagai barangan kitar semula sejak ia dibuka.

“Daripada lebih 25 jenis barangan kitar semula yang diterima, barangan kertas adalah antara yang terbanyak dihantar iaitu 8,728.5 kilogram (kg), diikuti barangan plastik (2,686.50 kilogram), besi (2,638 kg), botol kaca (2,181 kg), barangan elektronik terpakai (795 kg) serta barangan lain (2,753 kg).

Jumlah Mata Ganjaran (RP) KITARecycle yang terkumpul daripada keahlian di negeri Melaka sejak program KITARecycle diperkenalkan kini mencecah 1,016,765 mata bernilai RM50,838.25 setakat 30 November 2023.

Beliau berkata demikian pada Program Sembang Santai SWM Environment Bersama Media di Pusat Pandu Lalu KITARecycle Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh di sini.

Pada masa sama beliau turut memaklumkan SWM Environment sebagai penganjur bersama Program MAFA Century 100th Years Clean Eco Fun Run & Fun Ride anjuran Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Program bersempena 100 tahun penubuhan MAFA itu akan diadakan pada Sabtu, 30 Disember 2023 bertempat di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh.

Dua acara dibuka kepada orang ramai iaitu larian santai Fun Run sejauh 5 kilometer dan berbasikal, Fun Ride sejauh 20 kilometer.

Orang ramai khususnya warga negeri Melaka dijemput menyertai program ini dengan mendaftarkan diri secara atas talian. Hadiah cabutan bertuah utama (Grand Prize) menanti peserta yang membawa lebih dua (2) kilogram barangan kitar semula pada sesi pengambilan kit program.

Maklumat lanjut sila layari laman Facebook Melaka United Soccer Association atau SWM Environment.