SWM Environment kutip 200 tan barang kitar semula seluruh Melaka

...

AYER KEROH, 15 December 2023

Hampir 200 tan barang kitar semula dikutip SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) di seluruh Negeri Melaka awal bulan ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata apa yang membanggakan 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan disumbangkan oleh Pusat Pandu Lalu KITARecycle (PPLK) Taman Botanikal, Ayer Keroh.

Katanya, pencapaian itu merupakan sesuatu yang memberangsangkan seterusnya meningkatkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat dan menyumbang kepada kelestarian alam.

“PPLK Taman Botanikal merupakan yang pertama di Negeri Melaka dan sejak beroperasi enam bulan lalu PPLK sudah mengutip 20 tan barang kitar semula.

“Mengikut pecahan, barangan paling tinggi diterima adalah kertas iaitu hampir sembilan tan; plastik (tiga tan); besi (tiga tan); botol kaca (dua tan) dan selebihnya merupakan barangan elektronik serta lain-lain.

“Pada tahun hadapan kita mensasarkan kutipan barang kitar semula ini akan meningkat sebanyak 30 peratus,” katanya pada sidang media Khas SWM Environment di PPLK Taman Botanikal, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Norlisam berkata pada tahun hadapan, pihaknya akan mempergiat usaha meningkatkan kutipan barang kitar semula menerusi pelaksanaan pelbagai program.

“Tahap kesedaran berhubung amalam kitar semula dalam kalangan warga Melaka sudah meningkat. Selepas ini kami akan tingkatkan kesedaran mengenai manfaat amalan pengasingan sisa di punca.

“Kejayaan mengumpul barang kitar semula sehingga 200 tan tahun ini merupakan petunjuk yang amat baik dan positif di mana rakyat Melaka sudah mula membudayakan aktiviti kitar semula,” katanya.

https://www.melakahariini.my/swm-environment-kutip-200-tan-barang-kitar-semula-seluruh-melaka/