4 sekolah rendah terima tong kitar semula pintar untuk semai kepentingan perlindungan alam sekitar

...

MELAKA, 23 November 2023

SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyokong sepenuhnya Projek Penyelidikan Menerusi Inisiatif Knowledge Transfer and Social Innovation Engagement and Research Helix (KaSEH) yang dilaksanakan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan menyumbangkan Tong Sampah Beroda (TSB). Projek ini dikelola oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik UiTM Kampus Jasin, Melaka, di bawah Geran Community Engagements Social Research Innovation (CE-SIR).

Menurut Tuan Haji Mohd Norlisam Mohd Nordin, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, “Pihak SWM Environment amat berbesar hati untuk menaja sebanyak 12 unit Tong Sampah Beroda (TSB) 240 liter kepada empat buah sekolah iaitu SK Merlimau 2 Jasin, SK Sungai Buloh Alor Gajah serta dua sekolah di Bemban, Jasin iaitu SK Ayer Merbau dan SJK(C) Pay Chiao yang terlibat dengan projek ini.”

“Usaha yang dilakukan oleh pihak UiTM merupakan salah satu langkah untuk memudahkan aktiviti pemantauan dan pengendalian oleh SWM Environment terhadap barang-barang kitar semula yang dimasukkan ke dalam tong kitar semula pintar (iBin) ini. Inovasi ini diharapkan berjaya dan dapat digunakan secara meluas, kerana ia dilihat sebagai pendekatan yang lebih cekap, moden, dan bersistematik, khususnya dalam operasi pengumpulan barang-barang kitar semula, memberi nilai tambah dalam masa akan datang dalam usaha SWM mendigitalkan proses kerja," katanya pada Majlis Pelancaran iBin dan Penyerahan Tong Kitar Semula di SJK(C) Pay Chiao Bemban, Jasin di sini.

SWM Environment menetapkan matlamat untuk meningkatkan kutipan bahan kitar semula sebanyak 30 peratus di bawah program KITARecycle berbanding tahun ini, sejajar dengan sasaran kadar kitar semula yang ditetapkan oleh Kerajaan iaitu 40 peratus menjelang tahun 2025.

Turut hadir pada pelancaran itu Ts Dr Jamaluddin Jasmis, Ketua Pusat Pengajian, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, UiTM Melaka, Dr. Mohd Alfouzii bin Nasir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Jasin dan Pn Teh Bee Ti, Guru Besar SJK(C) Pay Chiao Bemban, Jasin.

https://melaka.sinchew.com.my/news/20231123/melaka/5147446