SWM kongsi kegembiraan Deepavali
PAYA RUMPUT, 06 November 2023
EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin diiringi Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin (kiri) penyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Ziarah SWM Kasih Cahaya Deepavali Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, hari ini. Foto: MR. AZLI
PAYA RUMPUT 6 November – Meskipun tidak besar, sumbangan disampaikan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) kepada empat keluarga masyarakat India menjadikan sambutan Deepavali lebih ‘bercahaya’ dan meriah buat penerima.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sumbangan itu membabitkan keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi program SWM Kasih Cahaya Deepavali yang memberi sinar kegembiraan kepada penerima meraikan perayaan tersebut.
“Kami sentiasa komited mengadakan program berbentuk kebajikan bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang kurang bernasib baik pada musim perayaan.
“Melalui program SWM Kasih Cahaya Deepavali ini, diharapkan ia dapat memberi sinar kepada mereka yang memerlukan seterusnya menjadikan sambutan Pesta Cahaya tahun ini lebih bermakna.
“Ini adalah kali pertama kita bekerjasama dengan pihak Japerun Paya Rumput untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan B40 dalam kalangan masyarakat India,” katanya.
Pada program itu, keluarga yang menerima sumbangan turut diraikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin yang turut hadir menyantuni mereka.
Norlisam berkata SWM Environment juga sedang membuat persediaan untuk menghadapi bencana banjir dijangka melanda negeri ini berikutan fasa Monsun Timur Laut (MTL) diramalan sehingga Disember.
“Antara persediaan dijalankan adalah mengenal pasti saliran-saliran di kawasan berisiko banjir di seluruh Negeri Melaka, ini termasuklah melakukan kerja-kerja pembersihan longkang dan parit bagi memastikan saliran tidak tersekat.
“SWM Environment sentiasa bersiap siaga dengan menyediakan jentera dan tenaga kerja bagi persediaan menghadapi bencana banjir di Negeri Melaka.
“Selain tenaga kerja seramai 172 orang, kita juga dengan menyediakan 58 unit jentera pelbagai guna, ‘backhoe’, ‘roro’,’ultra whack’ dan lain-lain,” katanya.