Pesakit buah pinggang kronik sambut Deepavali secara sederhana

...

MELAKA, 05 November 2023

Rais Yasin (duduk, kanan) menyampaikan sumbangan kepada C. Armadass ketika mengadakan lawatan sempena Program Ziarah SWM Kasih Cahaya Deepavali di Paya Rumput di sini hari ini. - Bernama

Perayaan Deepavali hanya mampu disambut secara sederhana bagi C Armadass dan keluarganya sejak tiga tahun lepas setelah dia tidak mampu bekerja mencari rezeki akibat menderita sakit buah pinggang kronik.
 
Armadass, 56, yang kini dijaga isteri dan adik perempuannya, perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu disebabkan penyakit itu yang dikesan selepas terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari tempat kerja, selain dia turut mengalami masalah penglihatan, menghidap kencing manis dan darah tinggi

Walaupun hingga kini belum menerima sebarang bantuan, dia tetap bersyukur kerana adik bongsunya itu, C Jayanthi, 53, yang bekerja sebagai jururawat di hospital swasta di negeri ini banyak membantu dia dan isteri dalam menampung perbelanjaan keluarga.

"Setiap bulan saya membelanjakan RM450 untuk beli barangan keperluan seperti lampin pakai buang dan susu khas selain perlu menyediakan RM150 setiap kali melakukan rawatan dialisis.
 
"Jadi, seperti Deepavali yang lepas kami hanya buat persediaan ala kadar dari segi pakaian mahupun makanan, namun saya bersyukur pada kali ini menerima sumbangan yang sekurang-kurangnya meringankan beban kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Paya Rumput Permai di sini hari ini.
 
Terdahulu, Armadass menerima kunjungan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang menyampaikan sumbangan Program Ziarah SWM Kasih Cahaya Deepavali.
 
Hadir sama Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd Mohd Norlisam Mohd Nordin.
 
Sementara itu, ibu tunggal yang tinggal berseorangan di Solok Sim Fatt, Paya Rumput, K Kamachee, 74, pula berkata dia gembira turut dipilih menerima sumbangan itu yang sedikit sebanyak membantunya dalam membeli keperluan harian.
 
Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat SWM kali ini yang melibatkan empat penerima, bertujuan membantu masyarakat kaum India yang amat memerlukan menyambut perayaan Deepavali dengan lebih ceria.
 
"Sumbangan yang diberikan adalah barangan mengurus diri, makanan serta sebuah kerusi roda. Menerusi program SWM Kasih Cahaya Deepavali ini, ia diharap dapat memberi sinar kegembiraan kepada penerima dan seterusnya menjadikan sambutan Pesta Cahaya mereka tahun ini lebih bermakna," katanya.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pesakit-buah-pinggang-kronik-sambut-deepavali-secara-sederhana-444805