Sasaran 100,000 Ahli Kitar Semula Boleh Dicapai Tahun Hadapan.

...

SEREMBAN, 15 December 2023

SEREMBAN: Sasaran 100,000 orang ahli berdaftar bagi program kitar semula kitar semula iaitu KITARecycle di negeri ini pada tahun hadapan boleh dicapai melalui kaedah kutipan +1.

 

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, kaedah kutipan +1 (perkhidmatan kutipan sisa kitar semula) memberikan akses tambahan kepada penduduk untuk mengumpulkan mata ganjaran bagi barangan kitar semula yang dilupuskan.

 

Jelasnya, kaedah ini terbukti berkesan dan praktikal untuk dilaksanakan oleh penduduk yang menetap di dalam kawasan perumahan baharu yang berpagar dan berpengawal.

“Kejayaan pengumpulan bahan kitar semula melalui kaedah KITARecycle +1 tidak hanya menyumbang kepada usaha pemeliharaan alam sekitar tetapi juga memberikan peluang kepada penduduk untuk mendapatkan ganjaran tambahan.

 

“Penduduk di taman perumahan hanya perlu mendaftar sebagai ahli KITARecycle, mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula, membungkus barangan kitar semula yang telah diasingkan dengan kemas, menampal kod QR dan meletakkannya di hadapan rumah di tepi tong sampah beroda pada setiap hari kutipan satu kali seminggu,” katanya pada Majlis Pelancaran Kutipan KITARecycle +1 di Nada Alam, Nilai, hari ini.

 

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.

 

KITARecycle merupakan program kitar semula kitar semula berganjaran yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment.

Sementara itu, Arul Kumar dalam pada itu berkata, perluasan kawasan disamping kerjasama daripada persatuan penduduk, jumlah sasaran berkenaan boleh dicapai.

 

“Sejak beberapa tahun lepas, kita dapat lihat adanya peningkatan mereka yang terlibat dan mengambil bahagian dalam program ini meskipun daripada rekod mencatatkan hanya 9,000 ahli berdaftar sejak 2018.

 

“Saya akui, sudah tentu bukan senang mahu memastikan setiap penduduk komuniti tersebut mengikutinya dan menjadi ahli berdaftar, namun begitu saya percaya usaha SWM Environment bagi memperluaskan program kesedaran dan kawasan liputan boleh dilaksanakan dan ia perlu dibuat secara berterusan.

 

“Ditambah dengan komitmen daripada semua pihak terlibat disamping dengan kerjasama persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), komuniti perumahan berpagar dan berpengawal ini akan memudahkan sasaran tersebut dicapai,” katanya. 

https://www.utusan.com.my/berita/2023/12/sasaran-100000-ahli-kitar-semula-boleh-dicapai-tahun-hadapan/